AM

Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara Terima Pengiktirafan Antarabangsa Di PHAM 2025

08/10/2025 04:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia telah menerima pengiktirafan antarabangsa sempena Sidang Kemuncak Kesihatan Planet (PHAM) 2025 di Rotterdam menerusi Pelan Tindakan Kesihatan Bumi Negara (PTKBN), yang bakal diperkenal.

Kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini memaklumkan bahawa PHAM, yang merupakan persidangan tahunan anjuran Planetary Health Alliance, meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang disegani atas pendekatan progresif berasaskan sains bagi melindungi kesihatan manusia dan alam sekitar.

Menurut kenyataan itu, PTKBN yang dimandatkan pada 2022 oleh Majlis Sains Negara melalui MOSTI, telah dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Ia merupakan rangka kerja pendekatan keseluruhan negara yang dibangunkan dengan input daripada komuniti saintifik, pembuat dasar, masyarakat sivil, belia dan pihak industri.

Pengiktirafan itu telah disampaikan oleh Pengarah Fakulti Planetary Health Alliance Prof Dr Samuel Myers kepada Pengerusi PTKBN Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail.

Beliau diiringi Ketua Pegawai Eksekutif ASM Hazami Habib dan Pengerusi Tonggak PTKBN bagi Nilai Murni, Anjakan Budaya, Komunikasi dan Perubahan Tingkah Laku, Profesor Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menerusi video prarakaman khas berkata: “Pengiktirafan ini menguatkan tekad Malaysia untuk bersama komuniti global dalam menjaga kesihatan manusia dan planet.

"Rangka tindakan ini yang berasaskan bukti, digubal untuk menyeimbangkan kesejahteraan manusia, kelestarian alam sekitar dan daya tahan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden ASM merangkap Penasihat STI kepada Perdana Menteri Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata melalui PTKBN, bukti saintifik akan membimbing dasar-dasar negara yang akan meningkatkan kualiti hidup rakyat sekali gus melindungi alam semula jadi dalam usaha untuk mewujudkan peluang ekonomi yang mampan dalam jangka panjang.

Pengarah Eksekutif Planetary Health Alliance Dr Rachel Marcus berkata PTKBN Malaysia yang bakal diperkenal mencerminkan langkah proaktif yang diperlukan untuk memacu kesihatan bumi di peringkat global.

"Kami berbangga menampilkan inisiatif Malaysia dan menjangkakan impak positifnya," kata beliau.

PTKBN, yang menggariskan hala tuju Malaysia ke arah kelestarian bumi dan masyarakat yang lebih sihat berpaksikan enam bidang Keberhasilan Utama didorong oleh 53 strategi serta 222 pelan tindakan, akan dilancarkan pada Forum Kesihatan Bumi Negara akan datang.

Untuk bacaan lanjut ringkasan eksekutif PTKBN, layari https://www.akademisains.gov.my/planetary-health/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan