AM

PM Kecam Tindakan Israel Tahan Kapal Sukarelawan Misi Kemanusiaan Ke Gaza

08/10/2025 01:28 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh tentera zionis Israel yang menahan kapal misi kemanusiaan ke Gaza pagi tadi.

Beliau berkata kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa rakyat Malaysia telah dipintas secara tidak sah di perairan antarabangsa oleh rejim itu pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Perdana Menteri berkata tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.

“Saya menuntut agar kesemua aktivis dan sukarelawan Malaysia dibebaskan dengan segera, diberikan perlindungan sewajarnya, dan tidak diapa-apakan sepanjang tempoh tahanan.

“Kerajaan MADANI akan berusaha sedaya upaya melindungi setiap nyawa anak Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini, dan akan berhubung dengan negara-negara rakan dan pertubuhan antarabangsa bagi memudah cara pembebasan mereka sesegera mungkin,” katanya.

Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) hari ini memaklumkan sembilan kapal termasuk  Conscience dan Umm Saad yang dinaiki sembilan aktivis negara telah dipintas oleh tentera Israel pada 10.50 pagi waktu Malaysia.

Misi FFC dan TMTG kali ini menyaksikan lapan wakil Malaysia menaiki kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 Sept diketuai Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali bersama tiga lagi iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.

Turut berada di atas kapal berkenaan ialah dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar serta wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil.

Seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad pula berada di atas kapal Umm Saad yang berlepas dari Catania, Sicily pada 27 Sept bersama tujuh kapal layar lain menuju Gaza.

Misi kemanusiaan itu bertujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, yang sedang dikepung serta berdepan sekatan Israel.

Secara keseluruhan, misi kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan