Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Malaysia harus menambah baik kebolehramalan peraturan, penyeragaman produk dan kecekapan kastam untuk mengukuhkan daya saingnya sebagai hab serantau untuk menarik lebih banyak pelaburan dari Eropah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Kesatuan Eropah (EUROCHAM) Malaysia Karl Godderis.
Untuk memudahkan perancangan perniagaan jangka panjang, beliau menyarankan perundingan yang lebih banyak dengan pelabur asing sebelum sebarang perubahan peraturan dibuat, membolehkan mereka respons atau menyesuaikan diri untuk mengelakkan gangguan terhadap operasi mereka.
Memetik kaji selidik dilakukan baru-baru ini dalam kalangan syarikat Eropah, Godderis berkata responden mengenal pasti isu itu sebagai cabaran utama untuk menjalankan perniagaan di Malaysia, walaupun kemajuan dalam rundingan untuk Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) berjalan lancar dan dijangka selesai menjelang tahun depan.
Ketidakpastian peraturan sering mengganggu perancangan perniagaan jangka panjang terutamanya apabila dasar utama berubah seperti pelarasan harga tenaga atau pengenalan cukai baharu seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), berlaku dengan perundingan terhad, kata Godderis kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
EUROCHAM Malaysia mewakili komuniti perniagaan Eropah di Malaysia dan memudahkan hubungan perdagangan dan pelaburan Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia.
"Dalam banyak kes, perundingan hanya berlaku selepas peraturan diumumkan, amalan sedemikian menjejaskan keyakinan pelabur dan menyebabkan perniagaan kekurangan peluang untuk menyesuaikan diri,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai penyeragaman produk, Godderis berkata ketidakselarasan antara piawaian Malaysia dan Eropah menyebabkan ujian harus dijalankan bagi memenuhi keperluan secara berulang dan kos yang tidak perlu bagi pengeluar.
Beliau berkata syarikat dari Eropah yang memasang komponen automotif di Malaysia menghadapi pertindihan dalam prosedur pematuhan, walaupun produk mereka sudah memenuhi piawaian kualiti Eropah yang ketat.
"Penyelarasan piawaian akan membantu pengilang di Malaysia berintegrasi dengan lebih baik dalam rantaian bekalan global," katanya.
Bagi prosedur kastam, Godderis berkata kecekapan dan kebolehramalan kekal menjadi kebimbangan utama dan kelewatan pentadbiran serta proses birokrasi terus menjejaskan pergerakan barangan.
"Jika Malaysia mahu meletakkan dirinya sebagai hab serantau, pelepasan kastam harus lebih pantas dan mudah dijangka," katanya.
Beliau berkata walaupun Malaysia kekal sebagai lokasi menarik untuk pelaburan berorientasikan eksport terutamanya dalam semikonduktor, peranti perubatan dan jentera, justeru menangani kelemahan struktur ini akan meningkatkan daya saing serantaunya berbanding negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Selain kemudahan perdagangan, EUROCHAM Malaysia juga meminta dasar penetapan harga tenaga yang lebih adil untuk menyokong daya saing industri.
Godderis berpendapat bahawa tarif elektrik untuk industri Malaysia pada masa ini lebih tinggi daripada pengguna kediaman, perubahan dilihat di kebanyakan negara-negaa lain, pengguna industri mendapat manfaat daripada diskaun volum disebabkan penggunaan berskala besar mereka.
Beliau berkata walaupun keperluan untuk melindungi isi rumah berpendapatan rendah boleh diterima, terdapat ruang untuk pendekatan lebih bersasar, terus melindungi kumpulan mudah terjejas dan memastikan sokongan lebih besar untuk industri intensif tenaga terutamanya mereka yang mahu mencapai sasaran dalam peralihan tenaga boleh baharu.
EUROCHAM Malaysia juga menyokong pendekatan lebih mampan dan kolektif terhadap pembiayaan penjagaan kesihatan, Godderis mengambarkannya sebagai cabaran dasar yang semakin mendesak.
Beliau berkata jawatankuasa penjagaan kesihatan EUROCHAM, terdiri daripada wakil dari sektor farmaseutikal, insurans, perubatan dan hospital sedang giat membincangkan cara untuk mewujudkan model pembiayaan lebih padu.
Pada masa ini, ekosistem kekal tidak seragam dengan pelbagai pihak berkepentingan menanggung kos dalam rantaian tersebut, daripada dasar kerajaan yang mempengaruhi syarikat insurans kepada pembayaran penanggung insurans kepada hospital serta kos pemindahan hospital dikenakan kepada pembekal farmaseutikal.
Godderis berkata rangka kerja lebih strategik dan holistik mampu menyelesaikan isu-isu berkenaan.
Beliau berkata EUROCHAM Malaysia terus mengadakan sesi libat urus dengan pembuat dasar untuk berkongsi maklum balas dalam industri dan membantu membangunkan rangka kerja yang praktikal dan seimbang merentas sektor termasuk tenaga, penjagaan kesihatan dan kemudahan perdagangan.
Mewakili lebih 1,600 ahli syarikat dari Eropah dan Malaysia merentasi 16 dewan perniagaan nasional, EUROCHAM Malaysia berperanan sebagai suara industri Eropah dalam menggalakkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala lebih kukuh antara Malaysia dan EU.
Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU mencecah RM218.9 bilion dengan eksport berjumlah RM115.8 bilion dan import RM103.1 bilion.
Eksport utama Malaysia ke EU termasuk produk elektrik dan elektronik, barangan perkilangan, minyak sawit dan produk berkaitan, makanan diproses serta peralatan optik dan saintifik.
Dari 2021 hingga 2024, jumlah pelaburan diluluskan dari negara EU dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan Malaysia, diselia oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjumlah RM198.2 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial