KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pihak swasta diseru agar lebih proaktif melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam sektor kesihatan bagi meringankan beban golongan memerlukan yang berdepan kesukaran menampung kos rawatan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata syarikat dan individu berkemampuan sewajarnya tampil menghulurkan sumbangan kepada hospital bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan.
“Sumbangan yang disalurkan hari ini oleh 99 Speed Mart Sdn Bhd (99 Speedmart) kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) amat bermakna untuk membantu khususnya orang kurang upaya serta mereka yang kurang berkemampuan menjalani rawatan perubatan.
“Saya harap usaha sebegini, (menarik) lebih ramai lagi bukan sahaja syarikat (tetapi juga) individu yang ada lebihan (pendapatan) untuk menyumbang ke hospital atau (pusat perubatan) universiti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penyerahan sumbangan oleh 99 Speedmart berjumlah RM2 juta kepada Tabung PPUMCare di sini hari ini.
Sumbangan syarikat rangkaian pasar raya mini itu bagi membantu pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di PPUM.
Sementara itu, Fadillah berkata sumbangan seumpama itu bukan sahaja boleh disalurkan melalui dana korporat malah boleh diambil kira sebagai sebahagian daripada zakat selain mendapat pelepasan cukai.
“Selain meringankan beban rakyat, syarikat juga layak memohon pelepasan cukai daripada kerajaan kerana sumbangan ini diiktiraf sebagai sebahagian daripada CSR. Jadi ia bukan sekadar bayaran cukai tetapi dalam masa sama memberi kebaikan kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PPUMCare Chew Yee Yean berkata PPUM merawat lebih sejuta inidvidu setiap tahun dengan purata 3,500 pesakit sehari dan lebih 1,200 katil yang sentiasa dipenuhi dan daripada jumlah itu, dianggar hampir 30 peratus pesakit dalam kalangan B40.
"Pada 2024, Tabung PPUMCare mempunyai keperluan untuk membantu 1,969 pesakit melibatkan jumlah RM7.6 juta sedangkan bantuan yang diterima hanyalah sebanyak RM3.2 juta.
"Oleh yang demikian, besarlah harapan kami untuk menerima apa jua bentuk sumbangan daripada pelbagai pihak yang akan membantu usaha kami untuk terus membantu pesakit memerlukan,” katanya yang juga Timbalan Pengarah Ikhtisas PPUM.
Beliau berkata bantuan yang diterima itu akan disalurkan kepada pesakit daripada pelbagai disiplin klinikal, antaranya surgeri, ortopedik, kardiologi, respiratori, pediatrik dan oftalmologi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial