SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Tiada istilah serik dalam membela nasib rakyat Palestin yang dizalimi rejim Zionis dan atas dasar itu, aktivis Malaysia yang terlibat dalam kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) mahu terus terlibat dengan misi berkaitan pada masa akan datang.
Seorang daripada 23 sukarelawan Malaysia, Muhammad Haikal Abdullah menyatakan kesanggupannya untuk menyertai lagi misi kemanusiaan ke Gaza demi meneruskan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Beliau yang menaiki kapal Free Willy turut meminta semua lapisan masyarakat agar terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza mengikut kemampuan masing-masing sambil menekankan bahawa setiap individu memikul peranan penting dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat.
“Alhamdulillah, setakat ini semua baik. Insya-Allah, jika ada rezeki kita akan pergi lagi. Sebaik-baik manusia ialah manusia yang beri manfaat kepada manusia lain,” katanya semasa sidang media pada majlis sambutan kepulangan delegasi misi GSF Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam ini.
Penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada 10.07 malam Selasa di KLIA Terminal 1.
Pada 2 Okt lepas, rejim Israel telah memintas kesemua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 dari Malaysia yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.
Bagi Norazman Ishak yang menaiki kapal Estrella, penyertaan dalam GSF bukanlah sekadar misi individu sebaliknya membawa suara dan harapan seluruh rakyat Malaysia untuk Gaza.
Berkongsi pengalaman ditahan tentera Israel, beliau mengakui bahawa mereka berdepan sekatan dan dinafikan beberapa hak kemanusiaan sepanjang tempoh tahanan.
“Namun, apabila mengenangkan penderitaan rakyat Gaza yang jauh lebih dahsyat, kami reda dan terus bersemangat. Layanan yang diterima sangat minimum tetapi Alhamdulillah, kami selamat,” katanya.
Nurfarahin Romli atau Farah Lee, yang menaiki kapal Grande Blu, pula berkata penyertaan aktivis wanita dalam misi GSF bukan sekadar mewakili Malaysia tetapi juga membawa suara kaum hawa dan ibu-ibu yang tertindas di Gaza.
“Tudung kami dirampas, kami dihina di hadapan lelaki tanpa tudung, dan kami terpaksa memakai baju putih ini untuk menutup kepala serta rambut demi menjaga maruah sebagai seorang wanita,” katanya.
Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs, yang menaiki kapal Free Willy, berkata penyertaannya dalam flotila itu memberikan pengalaman berharga dan menyuntik semangat baharu kepada generasi muda untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Saya bersyukur dan gembira dapat menjadi sebahagian daripada misi ini. Saya harap pengorbanan kami dapat membuka mata generasi muda untuk terus bersama membantu Palestin. Ini bukan sekadar isu politik tetapi juga isu kemanusiaan dan umat Islam sejagat. Kalau diizinkan, saya akan pergi lagi. Insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana yang menaiki kapal Mikeni merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang hadir menyambut kepulangan delegasi Malaysia malam ini.
“Terima kasih kepada semua yang sudi datang menyambut kami. Saya harap orang ramai dapat hadir ke Axiata Arena di Bukit Jalil esok untuk bersama-sama menunjukkan solidariti demi Palestin,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial