JOHOR BAHRU, 7 Okt (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini membuka tirai UTM Global Connect 2025 dengan gesaan agar institusi pengajian tinggi menjadikan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu utama pendidikan masa hadapan.
Naib Canselor UTM Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata AI bukan lagi satu konsep futuristik, sebaliknya telah menjadi komponen penting yang perlu diterapkan bagi memastikan universiti kekal relevan dalam landskap global yang pantas berubah.
“Kecerdasan Buatan bukan satu perkara baharu; ia satu keperluan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.
Persidangan dua hari bertemakan “Connecting Minds, Empowering Innovation, Shaping Sustainable Futures” itu menghimpunkan lebih 90 pemimpin universiti, pembuat dasar, inovator dan ahli masyarakat daripada 25 negara.
Program tersebut dianjurkan bersama oleh UTM International, Centre for Advancement in Digital and Flexible Education (UTM CDEx), Innovation and Commercialisation Centre (ICC) dan Centre for Real Estate Studies (UTM CRES), yang menghimpunkan empat program utama di bawah satu platform.
Antara program berkenaan ialah UTM University Presidents Forum (UPF 2025), New Academic Learning Innovation Showcase (NALI 2025), Pameran dan Pertandingan Seni dan Teknologi Industri (INATEX 2025) ke-27 serta Sidang Kemuncak D-8 NPRI (D-8 NPRI 2025) kali keempat.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan, berkata persidangan itu merupakan “platform global yang dinamik untuk membuka ruang kerjasama, perkongsian ilmu dan persefahaman rentas budaya,” yang mencerminkan aspirasi pendidikan tinggi Malaysia serta peranan UTM sebagai peneraju pendidikan global.
Antara pengisian utama ialah sesi pleno oleh Duta Belgium ke Malaysia Peter Van Acker, yang membentangkan topik “Navigating the Intelligent Age for Global University Excellence”.
Beliau menegaskan universiti perlu mengadaptasi AI secara bertanggungjawab agar teknologi berperanan memperkasa manusia dan mengurangkan ketidaksamarataan, bukannya menambah jurang.
Edisi tahun ini turut menekankan kepentingan AI, sekali gus memperkukuh kedudukan UTM sebagai pelopor penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia.
Kementerian Pendidikan Tinggi memperuntukkan RM50 juta pada 2025 di bawah inisiatif MY AI NEXUS bagi melatih 200,000 profesional AI menjelang 2030.
Tinjauan Majlis Profesor Negara pada 2023 mendapati hampir 80 peratus ahli akademik di Malaysia telah menggunakan AI dalam pengajaran, manakala 88 peratus menyokong penggunaannya secara lebih mendalam dalam penyelidikan.
Prof. Mohd Shafry mengingatkan peserta bahawa kemajuan teknologi perlu selaras dengan nilai kemanusiaan dan etika.
Beliau menegaskan UTM Global Connect bukan sekadar perhimpunan akademik, tetapi satu gerakan global bagi membentuk masa depan yang mampan dan inklusif melalui pendidikan serta inovasi.
“UTM Global Connect bukan sekadar acara – ia satu gerakan global. Dengan menghimpunkan pemimpin, inovator dan pendidik, kita sedang membina pakatan yang bakal mencetuskan penyelesaian ke arah masa depan yang mampan dan inklusif,” katanya.
Dengan perbincangan hari pertama telah membawa kepada beberapa jalinan kerjasama baharu, UTM Global Connect 2025 dijangka mencorakkan hala tuju berani universiti dalam era kecerdasan pintar.
Untuk maklumat lanjut, layari https://international.utm.my/utmglobalconnect2025/.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial