EKONOMI

MPC Dan Persatuan Automotif Perkukuh Produktiviti Industri Melalui Transformasi AI

07/10/2025 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Vendor Proton (PVA) memperkukuh produktiviti serta daya saing industri automotif negara melalui kerjasama dalam Program Transformasi AI Produktiviti.

MPC dalam satu kenyataan berkata program yang dilaksanakan di bawah Nexus Produktiviti Automotif (AutoPN) itu adalah untuk mempercepatkan transformasi digital dan meningkatkan kecekapan pengeluaran secara menyeluruh dalam kalangan syarikat automotif tempatan.

"Sebanyak 17 projek penambahbaikan produktiviti berasaskan kecerdasan buatan (AI) telah dibangunkan, dan syarikat terlibat kini bersedia untuk memperluaskan penggunaan AI secara kendiri ke bahagian lain dalam operasi pengeluaran. 

"Pada fasa seterusnya, sekurang-kurangnya 50 lagi projek AI akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bagi mempercepatkan transformasi digital dan memperkukuh daya saing industri," kata kenyataan tersebut.

Pengerusi AutoPN Datuk Abdul Rashid Musa dalam kenyataan sama berkata pelaksanaan program ini telah memberi impak nyata kepada prestasi syarikat yang terlibat.

"Inisiatif ini berjaya mengurangkan masa penyediaan dan pemantauan prestasi pengeluaran dengan ketara. Penggunaan AI membolehkan syarikat beroperasi dengan lebih cekap, sekali gus memberi ruang kepada mereka untuk menumpukan kepada aktiviti yang lebih bernilai tambah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Zahid Ismail dalam kenyataan sama berkata pendekatan bersama ini amat berkesan untuk memperkukuh tenaga kerja tempatan.

"Pekerja kini mempunyai kemahiran menggunakan AI dalam operasi harian dan berperanan sebagai agen transformasi dalam organisasi masing-masing. 

"Usaha ini turut menyumbang kepada peningkatan keupayaan penggunaan alat digital dan teknologi seperti yang dilaporkan dalam World Competitiveness Ranking (WCR)," katanya.

Kedudukan Malaysia bagi indikator penggunaan digital melonjak ke tangga ke-37 pada tahun ini berbanding ke-58 pada 2024, sekali gus menunjukkan kemajuan berterusan syarikat tempatan dalam memanfaatkan teknologi AI.

Zahid berkata pemerkasaan tenaga kerja melalui teknologi digital dan AI adalah perkara penting bagi pertumbuhan produktiviti sektor automotif dan agenda nasional peningkatan daya saing.

"Langkah ini menyokong sasaran negara untuk mencapai purata pertumbuhan produktiviti sebanyak 3.6 peratus setahun, sekali gus memastikan industri automotif Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan