AM

Mekanisme Rentas Kementerian Ditubuhkan Perangi Ancaman Weaponized AI - Gobind

08/10/2025 01:39 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Kerajaan menubuhkan mekanisme rentas kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi menangani ancaman baharu weaponized artificial intelligence atau kecerdasan buatan (AI) yang semakin digunakan dalam aktiviti penipuan digital, penyamaran serta serangan siber berskala besar.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pendekatan itu melibatkan kerjasama Kementerian Digital, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi, CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Apa yang kita lihat adalah keperluan untuk setiap kementerian ini bekerjasama supaya bila berlaku sesuatu masalah, kita ada satu unit yang boleh memberikan arahan jelas buat tujuan yang perlu diambil supaya masalah itu dapat kita kesan dan ambil langkah tindakan dengan segera,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai langkah strategik yang sedang dan akan diambil bagi memastikan keselamatan siber negara terjamin khususnya dalam menghadapi peningkatan kes penipuan yang menggunakan teknologi weaponized AI.

Ahli Parlimen Damansara itu turut memaklumkan Pejabat AI Kebangsaan kini menerajui perbincangan bersama pelbagai kementerian bagi membentuk rangka keselamatan AI nasional, termasuk penetapan piawaian, kawal selia dan peraturan baharu berkaitan teknologi AI.

Gobind berkata draf awal rangka tersebut telah disediakan dan dijangka dikemukakan kepada Kabinet pertengahan tahun depan selepas melalui proses libat urus dengan kementerian serta agensi berkaitan.

Beliau berkata perancangan itu bertujuan memastikan keseimbangan antara keperluan keselamatan dan inovasi digital, sejajar dengan usaha memperkukuh keyakinan rakyat serta pelabur terhadap agenda digital negara.

Menurut beliau, kerajaan mahu mewujudkan kerangka yang mampu mengawal risiko weaponized AI tanpa mengekang perkembangan inovasi teknologi digital.

Gobind berkata garis panduan Tadbir Urus dan Etika AI (AIG) berasaskan tujuh prinsip utama termasuk keselamatan, ketelusan dan kesejahteraan manusia turut dijadikan rujukan dalam pembentukan rangka keselamatan tersebut.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan