EKONOMI

BNM Lancar RENTAS+, Penyelesaian Pembayaran Antara Bank 24 Jam Sehari Tujuh Hari Seminggu

08/10/2025 10:20 AM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan RENTAS+, penambahbaikan kepada Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) bagi membolehkan pemindahan dana dan penyelesaian antara bank secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

“Pengembangan RENTAS menerusi penyelesaian transaksi pembayaran runcit secara berterusan ini membolehkan institusi kewangan untuk menguruskan secara lebih baik risiko kredit dan risiko penyelesaian yang timbul berikutan perkembangan pesat pembayaran runcit segera,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Menurut bank pusat, sebelum RENTAS+, pembayaran runcit diselesaikan dua kali sehari pada asas bersih tertunda.

Walaupun cekap, penyelesaian bersih tertunda mempunyai risiko kredit dan risiko penyelesaian yang sedia ada kerana dedahan kredit antara bank hanya terlangsai dua kali sehari, katanya.

“Kebanyakan risiko ini diatasi dengan RENTAS+ kerana transaksi DuitNow (yang merangkumi pemindahan dana, pembayaran QR dan pembayaran e-dagang) kini diselesaikan pada asas pukal, dengan Payments Network Malaysia (PayNet) menghantar transaksi DuitNow kepada RENTAS+ untuk proses penyelesaian selepas setiap transaksi pelanggan selesai,” katanya.

Bagi membantu penyelesaian sepanjang masa ini, BNM turut memperkenalkan kemudahan mudah tunai automatik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu menggunakan perjanjian belian balik (repo) dan perjanjian jual dan beli balik (SBBA).

Bank pusat berkata sejak 2024, jumlah dan nilai transaksi pembayaran runcit harian telah meningkat masing-masing sebanyak 49 peratus dan 22 peratus.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata RENTAS+ mengukuhkan daya tahan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia sambil menyediakan platform penyelesaian yang selamat, mampu diperluas dan fleksibel untuk menjalankan inovasi pada masa hadapan.

“Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen BNM untuk meletakkan RENTAS sebagai pemangkin dan penggerak inovasi dalam pasaran kewangan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan