AM

MARA Sasar Jualan Lebih RM50 Juta Pada MATEC 2025

07/10/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai transaksi melebihi RM50 juta menerusi penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2025, yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 31 Okt ini.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sasaran itu didorong oleh pertambahan lebih 70 reruai pameran berbanding penganjuran edisi terdahulu.

“MATEC 2024 mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan nilai transaksi RM16.6 juta melalui lebih 330 sesi padanan perniagaan, sekali gus memberi impak positif terhadap jaringan industri automotif bumiputera dan menarik kehadiran 26,550 pengunjung.

“Untuk penganjuran kali ini, kita memperluas penglibatan bukan sahaja dalam ekosistem MARA tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem automotif yang pastinya memberikan manfaat besar kepada para pengunjung,” katanya pada sidang media Majlis Pra Pelancaran MATEC 2025 di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, penganjuran kali kedua MATEC membuktikan komitmen MARA dalam memperkukuh kedudukan usahawan bumiputera di sepanjang rantaian nilai industri automotif, selain membuka peluang kerjasama strategik bagi meneroka teknologi baharu dan memacu pembangunan industri secara mampan.

Beliau berkata MATEC 2025 bersedia memainkan peranan penting dalam memperkukuh industri automotif negara dengan meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera, mempromosikan pertumbuhan industri, menyokong inisiatif kelestarian dan memupuk pembangunan bakat baharu.

Untuk rekod, lebih 5,000 usahawan automotif bumiputera telah dibangunkan melalui inisiatif latihan, kemudahan pembiayaan fasiliti perniagaan dan bimbingan strategik, selain MARA  turut menyokong industri High Growth High Value (HGHV) dengan membangunkan usahawan kenderaan elektrik (EV) seperti GGR Motor yang merupakan pengeluar utama motor EV negara.

Bertemakan  'Charge The Hype', MATEC yang bakal berlangsung sehingga 2 Nov di pekarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil menggabungkan elemen teknologi automotif terkini, gaya hidup permotoran, modifikasi kreatif dan penglibatan Gen-Z dengan sasaran seramai  50,000 pengunjung.

Sebanyak 180 reruai pameran akan disusun mengikut segmen seperti pengeluar kenderaan (OEM), vendor alat ganti dan aksesori, Program Khas Automotif MARA serta pameran daripada rakan strategik dan agensi berkaitan industri automotif.

Pengunjung turut berpeluang memandu uji pelbagai jenama kereta dan motor elektrik selain menikmati pelbagai promosi  dan diskaun daripada pempamer termasuk potongan harga servis, aksesori, dan barangan automotif dalam segmen experiential wheel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan