SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran keras kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkenaan agar memastikan bahawa kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Beliau berkata penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.
"Penjelasan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) ialah ini setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama.
"Kami telah berikan peringatan keras kepada Menteri dan Kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir tetapi tidak wajar sama sekali," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya di sini selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan telah diingatkan supaya tidak cuai dalam menangani isu tersebut, dan perlu memastikan kesilapan yang sama tidak berulang pada masa hadapan.
"Saya peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini," kata Perdana Menteri.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial