AM

PM Pakistan Muhammad Shehbaz Berangkat Pulang Selepas Lawatan Rasmi Ke Malaysia

07/10/2025 01:28 PM

SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif, berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

Muhammad Shehbaz berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.50 pagi selepas menerima sambutan perpisahan penuh istiadat termasuk kawalan kehormat oleh Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada Muhammad Shehbaz dan delegasi beliau.

Sebagai tanda penghargaan, Anwar turut menghadiahkan album gambar yang mendokumentasikan kejayaan lawatan rasmi tiga hari itu.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang bertindak sebagai menteri pengiring.

Lawatan Muhammad Shehbaz ke Malaysia itu diadakan atas jemputan Anwar sebagai kunjungan balas kepada lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Pakistan pada Oktober 2024, yang mencerminkan hubungan dua hala semakin erat antara kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala semalam dan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan, penerbangan, kesihatan awam dan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperdalam hubungan dua hala.

Malaysia dan Pakistan turut menegaskan pendirian bersama dalam isu-isu global utama termasuk situasi di Gaza, Islamofobia serta kestabilan serantau, selain berikrar memperkukuh kerjasama serantau dalam pengurusan bencana dan bantuan kemanusiaan.

Dalam pertemuan itu, Muhammad Shehbaz turut menghadiahkan Anwar terjemahan bahasa Urdu buku ‘SCRIPT: For a Better Malaysia’ karya beliau, yang menghuraikan visi untuk membentuk sebuah negara yang adil dan bersatu melalui rangka kerja MADANI berteraskan integriti, keadilan sosial dan kepelbagaian sebagai asas kemajuan.

Perdana Menteri Pakistan itu kemudiannya dinobatkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kepimpinan dan Tadbir Urus daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan cemerlang serta sumbangannya dalam pembinaan negara dan tadbir urus Islam di peringkat global.

Penganugerahan itu disempurnakan pada Majlis Konvokesyen Khas yang diadakan di Kampus Kuala Lumpur ISTAC-UIAM, disempurnakan oleh Ketua Perlembagaan UIAM Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sejak hubungan dua hala Malaysia dan Pakistan ditingkatkan kepada tahap Rakan Strategik pada Mac 2019, kedua-dua negara yang menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 itu mencatat jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM8.07 bilion (USD$1.76 bilion) pada tahun 2024, meningkat 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport utama Malaysia ke Pakistan termasuk minyak sawit, petroleum dan produk kimia, manakala import dari Pakistan meliputi hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut dan produk petroleum.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan