KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Enam negeri iaitu Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan Sabah dan Sarawak dikenal pasti sebagai kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata kajian pemetaan sesar aktif Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Peta Seismotektonik Malaysia mendapati zon sesar di enam negeri itu, yang dikenal pasti terdedah kepada ancaman bencana alam tersebut.
Sehubungan itu, beliau berkata pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia yang diterbitkan oleh JMG dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal berkaitan kini sedang dilaksanakan.
“Pengemaskinian Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan mengambil kira maklumat terkini seperti kejadian gempa bumi yang melanda beberapa kawasan baru-baru ini, kewujudan sesar aktif bahan geologi dan maklumat siasatan tanah.
“Kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat adalah satu proses pelarasan semula tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar-sesar kuno bagi menstabilkan semula kerak bumi. Ini dipengaruhi oleh lanjutan zon Sesar Mersing iaitu sistem sesar utama di Johor Timur… berdasarkan data sedia ada dan terbaharu, Segamat khususnya dan Johor amnya masih berada dalam zon selamat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Huang menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) mengenai kajian saintifik MetMalaysia dan JMG untuk mengesan punca berlakunya gegaran berulang di Segamat dan Batu Pahat serta lokasi lain yang berisiko berdepan fenomena sama pada masa hadapan.
Mengulas lanjut, beliau berkata MetMalaysia dan JMG bekerjasama memantau aktiviti gempa bumi di negara ini bagi memastikan sistem amaran dan tindak balas bencana berfungsi dengan lebih berkesan.
“Bagi tujuan ini, MetMalaysia akan melaksanakan Projek Pemerkasaan Perkhidmatan Gempa Bumi dan Tsunami Fasa 2 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Projek itu merangkumi pengukuhan 12 stesen seismik di seluruh negara termasuk pembinaan dua stesen baharu di Segamat dan Muar, Johor serta menaik taraf empat stesen sedia ada di Johor Bahru, Batu Pahat dan Gelang Patah daripada jenis strong to weak motion untuk mengesan gegaran bermagnitud lemah,” katanya.
Sementara itu, Huang berkata berdasarkan kajian kumpulan kerja pakar seismometrik yang terdiri daripada agensi teknikal, penyelidik dan badan profesional di bawah Jawatankuasa Tindakan Gempa Bumi yang diketuai oleh JMG, tahap maksimum gempa bumi yang boleh dijangka di Segamat dan Batu Pahat adalah pada skala sederhana.
“Walaupun gempa bumi di Semenanjung Malaysia umumnya berskala lemah hingga sederhana, risiko tetap wujud terutama di kawasan berhampiran jalur sesar seperti zon sesar Mersing yang dipengaruhi oleh sifat geologi kawasan tersebut.
“Reka bentuk struktur tahan gempa bumi di Malaysia adalah berpandukan Malaysia National Annex to Eurocode 8: Design of Structures for Earthquake Resistance, yang diterbitkan oleh Jabatan Standard Malaysia, sebagai garis panduan utama dalam mitigasi kejuruteraan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai tahap maksimum magnitud gempa bumi di Johor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial