KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menggesa semua pihak berusaha mencapai gencatan senjata dengan segera dan mengakhiri konflik di Gaza, selaras dengan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL).
Setiausaha Agung BSMM Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman berkata konflik berterusan telah membawa penderitaan besar, oleh itu amat penting agar bantuan kemanusiaan dibenarkan untuk disalurkan kepada orang awam tanpa sebarang kelewatan atau sekatan.
“BSMM menyeru semua kerajaan dan komuniti antarabangsa untuk memperkukuh usaha diplomatik bagi menamatkan konflik, melindungi orang awam dan petugas kemanusiaan, serta menegakkan prinsip kemanusiaan walaupun di waktu konflik.
“BSMM kekal komited terhadap misinya dalam meringankan penderitaan manusia, menegakkan maruah insan serta mempromosikan keamanan melalui tindakan kemanusiaan yang berprinsip,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata BSMM turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pihak yang berusaha memastikan pembebasan kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), yang ditahan tentera rejim Zionis.
Danial Iskandar berkata BSMM juga menghargai sokongan semua pihak dan rakan antarabangsa yang terlibat dalam usaha kemanusiaan itu.
“Walaupun pembebasan sukarelawan Malaysia adalah perkembangan yang positif, BSMM amat prihatin terhadap penahanan ratusan aktivis dan pekerja kemanusiaan daripada pelbagai negara yang turut berada dalam flotila sama, yang disekat pada 2 Okt 2025 semasa cuba menghantar bantuan ke Gaza,” katanya.
Beliau berkata BSMM menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat terhadap semua sukarelawan yang masih ditahan dan menegaskan pekerja kemanusiaan dan orang awam mesti dilindungi pada setiap masa dan dibenarkan menjalankan tugas mereka dengan selamat.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial