DUNIA

Tandatangan Surat Pengusiran Jamin Pembebasan Segera Sukarelawan Malaysia - Pakar

06/10/2025 04:20 PM

Oleh Linda Khoo dan Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Nasihat kepada 23 rakyat Malaysia yang ditahan di Israel selepas menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) supaya menandatangani surat pengusiran disifatkan oleh pakar keselamatan dan hubungan antarabangsa sebagai langkah berhemah, sah di sisi undang-undang dan bersifat kemanusiaan yang menjamin pembebasan segera dan selamat mereka - bukan tanda menyerah prinsip.

Pakar menegaskan misi GSF tidak pernah bertujuan mencetuskan konfrontasi, sebaliknya untuk menyampaikan mesej solidariti kepada rakyat Gaza. Tindakan menandatangani surat pengusiran itu adalah langkah undang-undang praktikal bagi melindungi keselamatan rakyat Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan yang sentiasa mengutamakan nyawa dan keselamatan warganya di zon konflik.

“… matlamat utama Global Sumud Flotilla bukan untuk berdepan konfrontasi, ditahan atau berperang dengan Israel. Tujuan utamanya adalah untuk menghantar mesej kepada seluruh dunia,” kata Prof Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia kepada BERNAMA pada Ahad.

Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang itu berkata walaupun flotila membawa bekalan bantuan kemanusiaan seperti makanan, bungkusan bantuan dan susu bayi, jumlahnya tidak ketara memandangkan saiz kapal itu.

“Apa yang lebih penting ialah mesej kepada masyarakat antarabangsa, khususnya kuasa Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan NATO,” katanya.

Beliau menjelaskan misi itu bertujuan menunjukkan bahawa rakyat biasa juga mampu menunjukkan solidariti terhadap rakyat Gaza walaupun sekatan masih berkuat kuasa.

“Kami mahu tunjukkan bahawa walaupun hanya 500 orang daripada lapan bilion penduduk dunia, kami tetap mampu bertindak menyatakan solidariti kepada rakyat Gaza dengan menghantar bantuan kemanusiaan,” katanya.

Menurutnya, pihak yang mengkritik Kementerian Luar tidak memahami tujuan sebenar misi berkenaan.

“Ia bukan untuk mencetuskan konfrontasi, tetapi untuk menarik perhatian dunia terhadap keadaan kritikal di Gaza serta mendedahkan tindakan tidak berperikemanusiaan dan kekejaman pihak berkuasa Israel yang terus mengenakan sekatan haram di darat, laut dan udara,” katanya.

Mizan berkata sebaik peserta flotila ditahan, keutamaan segera ialah memastikan keselamatan mereka serta pembebasan yang cepat.

“Tujuan utama misi sudah tercapai. Apabila rakyat kita ditahan, tindakan terbaik ialah memastikan mereka segera dibebaskan tanpa melanjutkan tempoh tahanan yang boleh menambah risiko penderaan atau penghinaan,” katanya.

Beliau memuji tindakan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang disifatkannya bijak dan tepat pada waktunya.

“Kita telah mencapai matlamat, menghampiri Gaza selepas lebih 30 hari di laut, berdepan ombak besar, ancaman dron dan pelbagai masalah teknikal sebelum dipintas dan dibawa ke Ashdod oleh tentera Israel. Itu menandakan misi sudah selesai,” katanya.

“Langkah seterusnya ialah keluar dari negara itu secepat mungkin untuk mengelak komplikasi tambahan. Saya percaya itu keputusan paling bijak dan praktikal,” katanya.

Menurutnya, persediaan rapi telah dibuat lebih awal oleh Wisma Putra bersama rakan kerjasama.

“Kementerian Luar melalui unit undang-undangnya, Sentra, berpusat di Amman, Jordan, bekerjasama dengan ADALAH - gabungan peguam hak asasi manusia di Mesir dan Jordan - untuk bersiap sedia membantu sekiranya berlaku penahanan, yang akhirnya mereka lakukan,” katanya.

Mizan turut memuji komunikasi berkesan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhubung secara langsung dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan diplomat Malaysia di Ankara bagi memastikan bantuan segera kepada rakyat Malaysia yang ditahan.

“Memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, misi Turkiye di Israel menjadi saluran penting kami. Peguam Turkiye yang berada di Israel mewakili kedua-dua negara secara simbolik di bawah dua bendera,” katanya.

“Alhamdulillah, ia membuktikan perancangan Wisma Putra amat menyeluruh. Strateginya melibatkan pelbagai lapisan: Sentra menyelaras dari Amman, ADALAH memberi bantuan di lapangan, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri berhubung terus dengan Presiden Erdogan,” katanya.

Beliau menambah bahawa Mohamad turut menghubungi Timbalan Setiausaha AS dan meminta bantuan rakan ASEAN yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel seperti Vietnam, serta negara sahabat lain untuk membantu usaha Malaysia.

“Ini membuktikan strategi keseluruhan dan pelan kontingensi sudah dirancang sebelum flotila memulakan pelayaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa, UPNM Prof Dr Adam Leong Kok Wey berkata keputusan menandatangani surat pengusiran adalah langkah praktikal dan perlu bagi memastikan keselamatan tahanan.

“Mereka dianggap melakukan ‘kemasukan haram’. Jadi, cara paling cepat dan selamat ialah melalui proses pengusiran,” katanya.

Beliau menegaskan persetujuan menandatangani surat pengusiran tidak boleh dianggap sebagai mengalah atau mengabaikan prinsip perjuangan.

“Tujuan rakyat Malaysia menyertai GSF ialah meningkatkan kesedaran global tentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza - dan tujuan itu telah tercapai. Malaysia terus aktif berusaha menamatkan konflik Gaza melalui platform diplomatik dua hala dan pelbagai hala,” katanya.

Menurut beliau, penekanan kerajaan terhadap kepulangan selamat semua tahanan adalah konsisten dengan pendekatan kemanusiaan dan diplomasi Malaysia selama ini.

“Kerajaan Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip memastikan keselamatan rakyatnya di zon konflik. Pemindahan rakyat Malaysia dari Mesir semasa kebangkitan Arab Spring dan tragedi MH17 ialah contoh jelas. Ketika itu, keutamaan ialah membawa pulang mangsa, bukan menuding siapa bersalah,” katanya.

Kritikan terhadap nasihat Menteri Luar Mohamad supaya tahanan menandatangani surat pengusiran mencerminkan salah faham terhadap langkah diplomatik yang sebenarnya telah dirancang rapi.

Nasihat itu merupakan sebahagian strategi undang-undang yang disusun lebih awal oleh pusat operasi, dengan sokongan pasukan guaman ADALAH di Israel, bagi memastikan pembebasan segera dan selamat semua rakyat Malaysia.

“Ini sebenarnya satu kejayaan. Tahniah kepada wira dan wirawati kita yang mewakili 37 juta rakyat Malaysia, menunjukkan kepada dunia bahawa walaupun tanpa hubungan diplomatik atau perdagangan dengan Israel, kita tetap teguh berdiri bersama Palestin melalui misi kemanusiaan ini,” kata beliau.

Pada Khamis lalu, 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas di kawasan perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod.

Semua sukarelawan itu telah dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon pada 6.45 petang (waktu Malaysia), Sabtu, tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan