AM

Parlimen: Dasar Luar Malaysia Terhadap Palestin, Isu Kampung Baru Antara Dibangkitkan Hari Ini

06/10/2025 08:56 AM

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Pendirian dasar luar Malaysia khususnya terhadap Palestin serta isu pembangunan Kampung Baru antara perkara utama dibangkitkan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 yang bermula hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman Parlimen, Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pada sesi soal jawab meminta Menteri Luar menyatakan perubahan utama dalam pendirian dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam khususnya berhubung situasi di Palestin.

Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan mengapa pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru menghadapi cabaran yang ketara dan sejauh mana faktor-faktor seperti pemilikan tanah yang bertindih dan nilai pasaran yang terhad menyumbang kepada isu terbabit.

Sementara itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bertanya kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai ketersediaan serta perkembangan ekosistem pasaran dagang karbon negara.

Beliau juga ingin tahu jumlah senarai memorandum persefahaman (MoU) dua hala yang telah dimeterai kerajaan dalam pasaran kredit karbon negara berdasarkan Sumbangan Ditentukan Negara  (NDC) menurut Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) pula meminta Perdana Menteri memaklumkan status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) bertanya kepada Menteri Pertahanan berhubung sama ada Kementerian Pertahanan telah menjalankan sebarang kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) setakat ini.

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebelum tiga sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Sesi penerangan itu termasuk berhubung insiden letupan gas di Putra Heights daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; potensi dan hala tuju air bawah tanah di Malaysia daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Alam Sekitar, Sains dan Perladangan; serta penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia daripada Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan