KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Sime Darby Property Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya Sime Darby Property (Hong Kong) Ltd (SDPHK), menandatangani perjanjian pinjaman berfaedah untuk menyediakan pendahuluan pemegang saham berjumlah £6 juta kepada Battersea Project Holding Company Ltd (BPHCL).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata: “Peruntukan pertama bantuan kewangan di bawah perjanjian pinjaman itu adalah sebanyak £6 juta (kira-kira RM34 juta).”
Di bawah perjanjian pinjaman itu, pendahuluan pemegang saham akan mempunyai tempoh selama lima tahun dengan kadar faedah dikenakan berdasarkan kadar Purata Indeks Semalaman Sterling (SONIA) ditambah 1.5 peratus setahun.
“Pendahuluan pemegang saham itu akan digunakan untuk membiayai fasa-fasa pembangunan Projek Battersea Power Station pada masa depan dan modal kerja BPHCL,” katanya.
Makluman itu turut menyatakan jumlah keseluruhan pendahuluan pemegang saham tidak dapat ditentukan pada masa ini.
“Jumlah itu akan bergantung, antara lain, kepada jumlah pembiayaan luar,” katanya.
SDPHK memegang 40 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat usaha sama BPHCL.
BPHCL ialah syarikat pegangan bagi projek pembangunan ikonik Battersea Power Station di London, United Kingdom.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial