SUNGAI BULOH, 5 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan yakin tiada sesiapa akan dipinggirkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Jumaat ini.
Beliau berkata permohonan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) baru-baru ini, susulan perbincangan bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick serta pegawai kanan.
“Kita akan menunggu pengumuman belanjawan oleh Perdana Menteri (yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seperti yang selalu kita tekankan, tiada sesiapa yang akan dipinggirkan.
“Kita tidak boleh mengatakan bahawa kita mahukan jumlah tertentu untuk komuniti India, Cina atau Melayu (secara berasingan). Dalam Kerajaan MADANI, kami berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira budaya, kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi “Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI” peringkat kebangsaan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Ewon menzahirkan harapan agar belanjawan tahun hadapan akan terus mengutamakan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), gerakan koperasi, serta sektor francais, perusahaan informal dan mikro.
Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata Program Bakul Makanan Deepavali Vanakam MADANI melibatkan sumbangan hampir RM2 juta termasuk sokongan logistik, melalui kerjasama Perdana Menteri, KUSKOP dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Sebanyak 16,600 keluarga kurang berkemampuan dan B40 di seluruh negara, katanya akan menerima manfaat daripada inisiatif itu bagi meringankan beban mereka sempena perayaan, dengan tambahan 1,000 penerima dari kawasan Parlimen Sungai Buloh di bawah peruntukan beliau sendiri.
Sebagai simbolik pada majlis itu, Ramanan turut menyampaikan bakul makanan kepada 50 keluarga di sini dengan setiap bakul mengandungi beras, minyak masak, tepung muruku, tepung adhirasam (denderam), kacang dal dan minyak bijan iaitu barangan yang sinonim dengan sambutan Deepavali, yang akan diraikan pada 20 Okt ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial