DUNIA

Kazakhstan Muncul Hab Teknologi Asia Tengah - Perdana Menteri Bektenov

05/10/2025 05:18 PM

Daripada Norshazlina Nor Azman

ASTANA, 5 Okt (Bernama) -- Kazakhstan sedang menempatkan dirinya sebagai hab teknologi baharu di Asia Tengah, dengan Perdana Menteri Olzhas Bektenov mengumumkan beberapa inisiatif berani dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital dan pembangunan syarikat pemula (startup), selain menyasarkan eksport teknologi maklumat (IT) bernilai AS$1 bilion menjelang 2025.

Dalam ucapan penutup Forum Digital Bridge 2025 di Astana pada Sabtu, Bektenov menekankan sokongan kerajaan terhadap pakar AI dan IT serta peluasan infrastruktur digital negara itu.

Beliau mengetengahkan inisiatif seperti Alem.ai, hab penyelidikan AI dan pemecutan syarikat pemula, serta Astana Hub yang menyediakan peluang pembiayaan dan akses pasaran global kepada syarikat pemula selain menggalakkan inovasi dan industri kreatif.

“Presiden Kassym-Jomart Tokayev menekankan pembangunan AI dan transformasi digital menyeluruh Kazakhstan dalam tempoh tiga tahun, sambil memastikan rakyat menerima sokongan kerajaan untuk membangunkan projek berimpak besar.

“Rakyat kami mempunyai potensi besar untuk mencipta projek inovatif. Sektor perniagaan, akademik dan kerajaan memainkan peranan penting dalam usaha ini,” kata Bektenov.

Beliau menambah bahawa Kazakhstan kini berada di kedudukan ke-24 dunia dalam e-kerajaan dan ke-10 dalam perkhidmatan awam dalam talian, mencerminkan kemajuan pesat dalam tadbir urus digital.

Bektenov berkata syarikat teknologi global termasuk Playrix, Mytona dan NetCracker telah pun memasuki pasaran Kazakhstan, menandakan keyakinan serta pelaburan antarabangsa yang kukuh.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kementerian Kecerdasan Buatan dan Pembangunan Digital yang baru ditubuhkan akan terus memperkukuh rangka kerja perundangan dan memperluas sokongan kepada pakar AI serta IT.

“Inisiatif presiden untuk membangunkan platform pendidikan nasional dan menubuhkan universiti penyelidikan AI akan memberi lonjakan besar dalam melatih tenaga kerja mahir untuk pasaran masa depan.

“Infrastruktur digital sedang diperluas, pusat latihan dibuka dan program AI kini dijalankan di 20 universiti,” katanya.

Bektenov turut menyatakan kira-kira 500,000 rakyat sedang dilatih dalam kemahiran berkaitan AI menerusi program seperti AI Qyzmet, AI Sana, Tomorrow School dan QazCoders.

Beliau berkata forum tiga hari itu, yang berakhir Sabtu, turut menyaksikan pemeteraian lebih 30 memorandum kerjasama.

“Bagi mempercepat urusan perniagaan dan menghapuskan halangan yang tidak perlu, Ibu Pejabat Digital di bawah Kerajaan kini beroperasi sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan