AM

Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat, Perak Terus Berkurang

05/10/2025 11:22 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) --Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat, manakala mangsa bencana itu di Perak terus mencatatkan pengurangan sehingga 10 malam ini.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 169 orang daripada 52 keluarga, berbanding 109 orang daripada 33 keluarga petang tadi.

Semua mangsa dari daerah Kota Setar dan Pokok Sena kini berlindung di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar, yang menempatkan 76 orang daripada 24 keluarga dari Mukim Langgar/Limbong, serta Dewan Serbaguna Pokok Sena membabitkan 93 orang daripada 28 keluarga dari Mukim Gajah Mati dan Mukim Lesong.

Beliau berkata, paras air Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar turut melepasi paras berjaga-jaga apabila mencatat bacaan 1.55 meter berbanding paras amaran 1.5 meter.

Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) menurun kepada 26 orang daripada tujuh keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 31 orang daripada lapan keluarga petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa kini berlindung di PPS SK Matang berhampiran Taiping, melibatkan penduduk dari Kampung Matang Jambu dan Kampung Telok Kertang.

PPS SK Matang merupakan satu-satunya PPS yang masih beroperasi selepas PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya ditutup semalam, manakala PPS SK Simpang dan PPS SK Matang Gelugor ditutup petang tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan