AM

Mahasiswa Perlu Jadi Penjaga Naratif Perpaduan - Saraswathy

05/10/2025 02:21 PM

TAPAH, 5 Okt (Bernama) -- Mahasiswa perlu menjadi penjaga naratif perpaduan dalam mendepani pelbagai cabaran sosial, identiti dan kepercayaan di era digital yang semakin kompleks, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy.

Beliau berkata mahasiswa bukan sahaja perlu peka terhadap isu yang boleh menggugat keharmonian kaum, malah bertanggungjawab menyalurkan naratif yang membina berasaskan nilai moral serta kefahaman terhadap kepelbagaian masyarakat.

“Mahasiswa hendaklah menjadi golongan celik perpaduan selain bukan sekadar memahami, tetapi mampu mentafsir isu dengan adil dan menyampaikan mesej yang membawa semangat toleransi, kefahaman serta persaudaraan. 

“Sama ada di kampus, media sosial atau dalam komuniti, mahasiswa mesti tampil sebagai penyampai suara perpaduan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Jalinan Integrasi Nasional Mahasiswa (JALIN) Siri 2 Tahun 2025 di sini hari ini.

Program anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Perak itu disertai 80 mahasiswa dari Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang menuntut di empat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negeri ini.

Pada masa sama, Saraswathy berkata pengukuhan perpaduan juga bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata, bahkan menuntut kerjasama menyeluruh daripada setiap lapisan masyarakat termasuk mahasiswa, institusi pendidikan, sektor swasta dan pemimpin politik.

Menyentuh mengenai program JALIN, beliau berkata ia dilaksanakan sebagai wahana penting dalam membina kesedaran identiti nasional, memupuk semangat kekitaan dan menyemai nilai perpaduan dalam jiwa mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan masa depan negara.

Beliau berkata melalui pendekatan berasaskan pengalaman dan interaksi rentas budaya, mahasiswa dapat memahami cara hidup komuniti lain dan menzahirkan rasa hormat terhadap kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama negara.

“Proses ini bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran, malah membentuk pemimpin muda yang inklusif, bijaksana dan berpandangan jauh. Kampus harus menjadi tapak integrasi yang subur dengan nilai perpaduan,” katanya.

Selain itu, Saraswathy berharap pengalaman yang diperoleh sepanjang program JALIN akan menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk terus mempertahankan nilai kenegaraan serta membina masa depan Malaysia yang aman, adil dan bersatu padu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan