SUKAN

LTdL 2025: Kawalan Kehormatan Buat Kristoff

05/10/2025 02:00 PM

TANGKAK, 5 Okt (Bernama) -- Legenda pelumba pecut Norway Alexander Kristoff diberikan kawalan kehormatan sebelum bermulanya perlumbaan peringkat akhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 hari ini, sebagai simbol persaraan rasmi beliau daripada arena lumba basikal profesional. 

Semasa upacara tersebut di Dataran Tangkak Ledang di sini hari ini, pelumba berusia 38 tahun itu diberikan penghormatan khas apabila beliau diiringi ke garisan permulaan Peringkat Kelapan LTdL 2025 dengan menaiki beca yang dikayuh legenda berbasikal jalan raya negara Anuar Manan.  

Kelompok pelumba membentuk barisan di kiri dan kanan jalan sambil mengangkat basikal mereka sebagai tanda hormat sementara Kristoff melambai ke arah orang ramai, dalam satu upacara perpisahan yang penuh emosi.

Bagaimanapun, Kristoff yang terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan Peringkat Ketujuh dari Melaka ke Medini semalam, tidak dapat beraksi di peringkat akhir hari ini dari Tangkak ke Kuala Lumpur. 

“Saya secara rasmi sudah bersara kerana tidak dapat berlumba hari ini disebabkan kemalangan, tetapi saya amat gembira berada di sini untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Saya memang berharap untuk menghabiskan perlumbaan ini, tetapi menerima penghormatan seperti ini sudah cukup bermakna buat saya. Satu penghormatan buat saya berada dalam kelompok pelumba profesional selama bertahun-tahun,” katanya ketika ditemui hari ini.

Antara pencapaian besar beliau termasuk menjuarai Milan-San Remo (2014), Tour of Flanders (2015), empat peringkat dalam saingan Tour de France dan Kejohanan Eropah (2017), selain pencapaian podium di Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia. 

Dalam pada itu, Kristoff berkata beliau akan terus menyumbang kepada kemajuan sukan tersebut sebagai seorang daripada jawatankuasa penganjur Tour of Norway tahun depan. 

“Saya menantikan peluang untuk bekerjasama dengan penganjur Tour of Norway. Bagaimanapun, saya juga akan sibuk di rumah dengan kelahiran anak kelima saya pada Februari ini,” katanya. 

Kristoff yang membuat penampilan sulung di LTdL tahun ini, turut memuji penganjur dan tahap keselamatan perlumbaan di Malaysia.

“Saya seronok dapat menyertai LTdL buat pertama kali. Aspek keselamatan sangat terjamin dan penganjurannya tersusun dengan baik. Jika saya masih berlumba, saya pasti akan kembali,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan