AM

Guru, Juruvideo Antara Pemenang Utama Malaysia Photo Hunt 2025

03/10/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Seorang guru dan juruvideo antara empat pemenang utama pertandingan foto dan video Malaysia Photo Hunt 2025 anjuran Tourism Malaysia, sebagai usaha mempergiat promosi destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Guru dari Serian, Sarawak Kelvin Pudun Dennis, 45, berjaya meraih hadiah utama bagi kategori foto untuk pengguna telefon pintar menerusi gambar Air Terjun Susung di Sarawak, sekali gus memenangi pakej percutian ke Kuala Lumpur dan Melaka selama empat hari tiga malam bernilai RM15,000.

Kelvin ketika ditemui pemberita berkata kawasan air terjun berkenaan sememangnya menjadi tumpuan pelancong terutama pendaki kerana keindahan alam semula jadinya.

"Saya memang tidak menyangka dapat hadiah utama kerana saya menghantar penyertaan ini pun agak lewat,” katanya.

Sementara itu, seorang juruvideo dari Kuala Lumpur Toh Jern Yoong, 25, meraih hadiah utama kategori video bagi pengguna kamera menerusi video pemandangan Batu Caves dan bangunan pencakar langit sekitar ibu negara.

"Saya rasa lokasi yang benar-benar menonjol bagi saya ialah Batu Caves kerana ia sebuah tempat orang ramai berkumpul termasuk pelancong asing, selain saya mahu menonjolkan kemegahan bangunan pencakar langit seperti Merdeka 118, Menara Berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur,” katanya yang memenangi pakej percutian ke Kuching, Sarawak selama empat hari tiga malam bernilai RM35,000.

Selain itu, pemenang kategori video bagi pengguna telefon pintar, Mrutyaunjai Sanjay Parab meraih pakej percutian selama empat hari tiga malam ke Pulau Pangkor dan Selangor.

Mohd Nazri Sulaiman pula diumum pemenang kategori foto bagi pengguna kamera dengan hadiah pakej percutian empat hari tiga malam ke Pulau Pinang bernilai RM25,000.

Malaysia Photo Hunt yang berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Ogos lepas menerima 2,310 penyertaan foto dan 121 video berdurasi 30 hingga 60 saat bertemakan “Surreal Experiences”.

Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM400,000 yang turut mendapat sokongan rakan strategik dan penaja termasuk Canon, Sony, Samsung, OPPO dan Huawei.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Thai Hung ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah itu berkata pertandingan pelancongan berasaskan seni visual berperanan penting dalam memperkasakan agenda promosi pelancongan negara.

"Apa yang menjadikan Malaysia Photo Hunt 2025 lebih menarik ialah hasil penyertaan ini turut dikongsi secara meluas di media sosial dan platform digital, sekali gus memperkukuh agenda mempromosikan pelancongan negara,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan