AM

Festival Seni Hidup 2025 Angkat Warisan Hampir Pupus

04/10/2025 08:50 PM

GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Festival Seni Hidup 2025 (LACF 2025) di Lebuh Armenian, di sini bermula semalam bagi mengetengahkan warisan yang hampir pupus.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata festival selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 27 persembahan seni budaya dari Malaysia, Bulgaria, Thailand, Filipina, Indonesia, India, Jepun, Sri Lanka, Republik Korea dan Uzbekistan.

“Kesenian ini termasuk yang disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan selain diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian LACF 2025 oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharudin Abu Sohot.

Festival edisi keenam itu dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Pulau Pinang dan Persatuan Pancha Seniloka Kebangsaan yang turut menampilkan persembahan makyung, tarian Mayin Jo'oh dan Sinding Mansayau.

Mohd Amran berkata bandar raya ini dipilih sebagai lokasi LACF 2025 kerana kedudukannya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO selain kawasan Lebuh Armenian yang sememangnya terkenal dengan aktiviti seni dan menjadi tumpuan pelancong.

Beliau berkata festival kali ini mengangkat tema “Kelangsungan Budaya Warisan” dan memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu warisan tidak ketara yang diiktiraf UNESCO, Warisan Kebangsaan serta kesenian yang memerlukan perhatian.

Mohd Amran berkata pelbagai pengisian menarik disediakan antaranya persembahan kesenian, perarakan budaya, pameran dan jualan kraf tangan, pertunjukan tanglung serta “Sarapan Malaysia” yang membolehkan pengunjung merasai juadah yang telah diiktiraf UNESCO.

"Kami menjangkakan 30,000 hingga 40,000 pengunjung termasuk pelancong asing menghadiri festival ini sepanjang tempoh tiga hari penganjurannya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan