KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dipilih sekali lagi sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam satu kenyataan menyifatkan kepimpinan Mohammed Azman bagi penggal 2026–2028 sebagai tanda keyakinan antarabangsa terhadap kepakaran dan komitmen Malaysia dalam bidang keselamatan sosial.
“Saya berharap kepimpinan Azman sebagai Presiden ISSA akan terus membuka ruang kerjasama antarabangsa, membolehkan Malaysia dapat mengadaptasi amalan terbaik global serta muncul sebagai penanda aras, sekali gus membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Mohammed Azman dipilih menerajui ISSA bagi penggal 2026 hingga 2028 semasa Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) pada 3 Okt.
Sim turut mengucapkan tahniah kepada PERKESO, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) atas kejayaan menjadi tuan rumah kepada WSSF dan mesyuarat ISSA di ibu negara.
Perhimpunan antarabangsa itu juga telah menobatkan Kuala Lumpur sebagai ibu kota global keselamatan sosial.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen teguh kerajaan serta pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha Kerajaan MADANI membangunkan sistem keselamatan sosial yang menyeluruh untuk rakyat, khususnya para pekerja.
“Antara 2015 hingga 2025, Malaysia merekodkan peningkatan 63 peratus dalam jumlah pekerja yang dilindungi di bawah keselamatan sosial, di samping peningkatan dalam bayaran faedah maksimum kepada orang berinsurans, daripada RM2,655 pada 2015 kepada RM5,355 pada 2025,” katanya.
Sim berkata Malaysia juga antara negara di dunia yang meluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada suri rumah melalui inisiatif seperti Skim Lindung Kasih dan program i-Suri KWSP, dengan lebih 500,000 suri rumah telah dilindungi di bawah Skim Lindung Kasih pada 2024.
Beliau berkata Malaysia turut memperluas perlindungan kepada pekerja gig melalui Rang Undang-Undang Pekerja Gig yang baru diluluskan di Parlimen.
“Kerajaan MADANI juga akan membentangkan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) pada sidang Parlimen yang akan datang untuk memperkenalkan perlindungan 24 jam PERKESO kepada para pekerja.
“Pindaan ini akan memastikan pekerja terus dilindungi di luar waktu pejabat, selaras dengan realiti zaman kini, iaitu waktu kerja tidak lagi terhenti di pintu pejabat,” katanya.
Sim berkata pencapaian itu mencerminkan tekad kerajaan untuk menjunjung maruah setiap pekerja, melindungi sumber pendapatan serta meletakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam bidang keselamatan sosial.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial