KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Sebanyak 6,376 pelajar baharu program Sarjana Muda Universiti Malaya (UM) memulakan pendaftaran bagi sesi akademik 2025/2026 hari ini.
Naib Canselor UM Profesor Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata hari pendaftaran itu, merupakan detik bersejarah dan membanggakan bukan sahaja kepada mahasiswa, malah juga keluarga yang menjadi pendorong utama sepanjang perjalanan mereka.
“Hari ini bukan sekadar hari anda melangkah masuk ke alam pengajian tinggi, tetapi juga permulaan kepada harapan, pengalaman dan peluang baharu. Di Universiti Malaya, para mahasiswa bukan sahaja akan menimba ilmu, malah akan menemui rakan baharu serta membina kenangan yang kekal sepanjang hayat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar berani mencabar diri, menyertai pelbagai aktiviti dan menghargai pengalaman sepanjang pengajian di UM.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meninjau suasana pendaftaran, berpesan kepada mahasiswa baharu agar memberi tumpuan penuh kepada pengajian dan berusaha mencapai kecemerlangan.
“Tahniah kepada semua mahasiswa yang kini menjadi sebahagian daripada sebuah institusi penting negara. Semoga anda semua menjadi insan hebat, berilmu dan berbakti kepada masyarakat serta negara,” katanya.
Ahli Parlimen Batu Gajah Sivakumar Varatharaju Naidu yang juga alumni Fakulti Ekonomi UM turut hadir bagi mendaftarkan anak perempuannya, sambil memuji pembangunan kampus dan kelancaran proses pendaftaran.
“Saya berasa gembira melihat suasana meriah di kampus ini. Proses pendaftaran hari ini berjalan sangat sistematik. Tahniah kepada Naib Canselor dan pihak pengurusan UM atas kejayaan ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial