GEORGE TOWN, 4 Okt (Bernama) -- Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak berjaya dilaksanakan di 337 sekolah melibatkan 128,148 murid sejak 2024, melebihi sasaran asal 300 sekolah.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sasaran 300 buah sekolah dikekalkan bagi tahun ini dan setakat semalam, 327 sekolah telah dilibatkan iaitu melebihi sasaran dengan peratus pencapaian sebanyak 109 peratus.
"Selain sekolah, program ini juga diperluas ke 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) di seluruh negara bagi melibatkan komuniti secara meluas dengan terkini, 19 PAKK sudah terlibat dalam program ini.
"Di Pulau Pinang, 30 sekolah menyertai Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dengan penglibatan 5,087 murid dan 20 sekolah lagi disasarkan untuk tahun ini," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sempena Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak- Kanak peringkat Pulau Pinang 2025.
Program itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusoff di PAKK Kuala Muda, Seberang Perai Utara dekat sini hari ini.
KPWKM memaklumkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan sebanyak 697 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di Pulau Pinang dari Januari hingga Ogos 2025 dengan 184 kes di Seberang Perai Utara.
Sementara itu, Maziah menyeru kerjasama semua pihak bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dan perlindungan kanak-kanak serta memperkukuh jaringan komuniti.
"Cabaran era digital mendedahkan kanak-kanak kepada risiko penderaan, pengabaian, eksploitasi dalam talian dan buli siber, justeru masyarakat perlu melaporkan sebarang kes melalui Talian Kasih 15999 untuk tindakan segera," katanya.
Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak dirangka untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pelbagai bentuk penderaan kanak- kanak secara fizikal, emosi, seksual, pengabaian dan eksploitasi.
Usaha berkenaan dilaksanakan berdasarkan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang menekankan hak perlindungan penuh untuk semua kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial