BANTING, 4 Okt (Bernama) -- Syarikat konsesi yang belum pernah menjalinkan kerjasama strategik dengan mana-mana agensi kerajaan berhubung program tanggungjawab sosial korporat (CSR) disaran berbuat demikian menggunakan kaedah wakalah zakat.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor Datuk Borhan Aman Shah berkata menerusi kaedah itu, syarikat konsesi dapat mengagihkan sebahagian daripada bayaran zakat kepada asnaf secara terus sekali gus membolehkan inisiatif CSR termasuk di bawah Program Santuni MADANI menjadi lebih lancar.
"Wakalah antara sistem agihan zakat yang boleh dimanfaatkan, mereka (syarikat konsesi) boleh memohon semula 30 peratus daripada jumlah zakat yang dikeluarkan untuk melaksanakan CSR sendiri bergantung kepada keperluan asnaf.
"Banyak yang mereka boleh bantu seperti membaik pulih rumah dan menyumbang van jenazah. Bukan sekadar memberikan bantuan tunai tetapi dalam bentuk barangan serta turun padang menziarah," katanya dalam sidang media di Kampung Sungai Lang Baru di sini hari ini.
Borhan berkata semua pihak terutamanya syarikat konsesi harus sedar bahawa CSR di bawah Kerajaan MADANI seperti Program Santuni MADANI memfokuskan terhadap inisiatif meningkatkan potensi kampung menerusi tiga perkara pokok iaitu pendidikan, ekonomi dan sosial.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat berkata segala proses dilakukan dengan telus dan dipantau serta dilaporkan terus oleh Sekretariat Program Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negara (MTPN).
Terdahulu, Borhan diiringi Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) JPM Mohd Iqbal Mohd Noor turun padang menyantuni penduduk Kampung Sungai Lang Baru, di sini bersempena pemilihan kampung itu untuk Program Santuni MADANI yang berlangsung hari ini.
Menerusi acara sama, dua unit rumah dipilih untuk dibaik pulih di bawah kendalian BPH, JPM dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Cawangan Kuala Langat manakala sebuah rumah lagi dibaik pulih oleh empat syarikat konsesi iaitu Putrajaya Bina Sdn Bhd, THP Utara Facilities Sdn Bhd, Ambang Wira Sdn Bhd dan Building Lindungan Sdn Bhd.
Program Satu Pemimpin Satu Kampung atau Santuni MADANI merupakan saranan Perdana Menteri agar semua Ketua Jabatan Persekutuan melaksanakan program turun padang dengan matlamat meningkatkan potensi kampung menggunakan kaedah mengenal pasti keperluan penduduk.
Program yang memerlukan ketua jabatan memilih kampung kelahiran sendiri atau pasangan untuk menyalurkan bantuan itu telah diluluskan kerajaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mei 2024 diikuti Garis Panduan Program Santuni MADANI pada 12 Jun tahun sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial