KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersikap terbuka terhadap mana-mana parti komponennya yang memilih untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata GRS tidak mendesak parti komponennya untuk meninggalkan gabungan itu, sebaliknya menyerahkan keputusan berkenaan kepada parti terbabit.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyatakan keyakinannya terhadap kekuatan gabungan itu berasaskan kerjasama erat dalam kalangan parti komponennya serta sokongan padu rakyat Sabah.
"Insya-Allah kita akan menang pada pilihan raya nanti. Kita bersama-sama rakan komponen lain, terutama sekali Parti Bersatu Sabah (PBS) masih kukuh dan insya-Allah GRS terus kekal sebagai gabungan yang kuat dan mantap di Sabah.
"Kita mahu teruskan perjuangan ini kerana kita baru separuh jalan," katanya dalam satu kenyataan selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Kedai Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) Kampung Taka di pekarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata pelaksanaan agenda pembangunan di bawah dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sejak hampir lima tahun lepas ialah bukti nyata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi serta memperkukuh kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata mandat yang diberikan rakyat Sabah sejak September 2020 tidak disia-siakan, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan SMJ.
“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan sindiran, kepimpinan kerajaan tetap teguh melaksanakan amanah rakyat. SMJ bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan bertindak yang telah menampakkan hasil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial