KOTA KINABALU, 4 Okt (Bernama) -- Pembukaan cawangan baharu Mikro Agrobank di Sook, Keningau, terletak lebih 300 kilometer dari sini, akan memberi manfaat kepada kira-kira 31,000 penduduk di kawasan itu yang majoritinya menjalankan aktiviti pertanian.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata inisiatif itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh ekosistem perbankan di kawasan pedalaman serta memperkasakan masyarakat luar bandar.
“Jarak antara penempatan penduduk di Sook dan kawasan sekitarnya dengan kemudahan perbankan terdekat boleh mengambil masa sehingga satu jam perjalanan. Ini menyukarkan mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kewangan harian.
“Oleh itu, dengan adanya cawangan Agrobank di Sook, perkhidmatan kewangan menjadi lebih dekat dan mudah diakses, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Arthur, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata pembukaan cawangan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar turut menikmati kemudahan kewangan moden yang relevan dengan keperluan mereka.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pembukaan cawangan Mikro Agrobank Sook sejajar dengan misi bank itu memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus keterangkuman kewangan.
“Melalui pembukaan cawangan ini, kami komited untuk memastikan tiada siapa yang tercicir dari segi keterangkuman kewangan.
“Ini turut mencerminkan mandat kami dalam memperkasakan golongan yang belum dan kurang mendapat perkhidmatan bank melalui pelbagai penyelesaian kewangan yang sesuai dan inklusif,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata cawangan Sook merupakan rangkaian ke-219 Agrobank yang menawarkan pelbagai perkhidmatan.
Antaranya pembukaan akaun simpanan, perkhidmatan pemindahan wang, pembayaran utiliti, produk takaful dan wasiat, kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta khidmat nasihat kewangan mengikut keperluan komuniti tempatan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial