SUKAN

MAKAF Terus Berusaha Perluas Penyertaan Atlet Karate Di Pentas Antarabangsa

04/10/2025 02:53 PM

NILAI, 4 Okt (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) berhasrat menghantar seramai mungkin atlet kebangsaan menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa, bagi memperluas pendedahan dan meningkatkan tahap persaingan mereka pada peringkat tertinggi.

Presidennya Datuk Nur Azmi Ahmad berkata penyertaan 40 atlet negara dalam Kejohanan Karate 1-Series A 2025 di N9 Arena di sini, merupakan peluang terbaik buat atlet senior dan pelapis untuk menimba pengalaman serta mengukur kemampuan masing-masing.

Beliau berkata MAKAF sentiasa berusaha menghantar kontinjen besar ke kejohanan antarabangsa, namun pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan dan peruntukan.

“Kalau saya nak beri pendedahan, saya akan dedahkan semua atlet ke semua kejohanan di bawah WKF (Persekutuan Karate Dunia), AKF (Persekutuan Karate Asia) dan ASEAN Karate, ikutkan setiap bulan ada tapi ada kejohanan tertentu yang hanya boleh disertai atlet yang mempunyai mata ranking terbaik.

“Walaupun peruntukan yang kita dapat tidak sebesar sukan lain seperti bola atau takraw, kita tetap cuba yang terbaik dan bekerjasama rapat dengan MSN (Majlis Sukan Negara),” katanya pada sidang media Karate 1-Series A 2025 di sini, hari ini.

Nur Azmi berkata peruntukan yang lebih besar biasanya diberikan menjelang temasya sukan besar seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, sekali gus membolehkan MAKAF menghantar lebih ramai atlet.

Terdahulu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan berangkat merasmikan kejohanan anjuran WKF itu, yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Ketibaan baginda disambut Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang merupakan Penaung MAKAF merangkap Naib Presiden AKF.

Turut hadir Presiden WKF Antonio Espinos.

Kejohanan Karate 1-Series A 2025 disertai 1,061 atlet dari 84 negara, termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Brazil, Algeria, Iran dan Malaysia.

Karate 1-Series A merupakan pertandingan tahap kedua dalam struktur liga WKF yang menawarkan mata ranking dunia sebelum Kejohanan Dunia di Paris bulan ini serta Kejohanan Dunia Senior di Mesir pada November.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan