Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menaik minggu depan, disokong oleh unjuran output yang lemah.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata paras stok lebih rendah negara turut mempengaruhi sentimen pasaran.
“Kami menjangkakan harga MSM akan diniagakan antara RM4,400 dan RM4,600 satu tan metrik minggu depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata peserta pasaran akan menunggu pengumuman statistik industri bulanan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Oktober depan yang akan merangkumi paras stok MSM bagi September.
"Bagi permintaan, ia akan datang dari India kerana musim perayaan serta dari China, Pakistan, negara Timur Tengah dan Kesatuan Eropah," katanya.
Pada asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2025 meningkat RM35 kepada RM4,400 setan, November 2025 naik RM51 kepada RM4,418 satu tan dan Disember 2025 menambah RM46 kepada RM4,442 setan.
Dalam pada itu, kontrak Januari 2026 melonjak RM37 kepada RM4,457 satu tan, Februari 2026 menokok RM28 kepada RM4,448 setan, manakala Mac 2026 menambah RM8 kepada RM4,416 satu tan.
Jumlah dagangan mingguan turun kepada 373,167 lot daripada 423,097 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka naik kepada 273,808 kontrak daripada 250,893 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan meningkat RM60 kepada RM4,320 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial