SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan tiada rakyat Malaysia berada di atas kapal terakhir yang belayar di bawah misi Global Sumud Flotilla (GSF), Marinette, yang telah dipintas tentera Israel pada 3.30 petang waktu Malaysia.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata kapal itu membawa enam aktivis antarabangsa, iaitu tiga dari Turkiye serta masing-masing seorang aktivis dari Oman, Jerman dan Australia.
Beliau berkata kapal pemerhati Shireen pula dilaporkan selamat berlabuh di pelabuhan Paphos, Cyprus pada 3.40 petang waktu Malaysia.
“Kapal ini menyediakan khidmat guaman dan perubatan kepada seluruh peserta flotila sepanjang pelayaran.
“Kapal ini juga diberi peranan untuk mengikuti dari awal flotila sehingga saat akhir, namun kapal pemerhati akan meneruskan perjalanan mereka dan tamat di Cyprus,” katanya pada sidang media di sini malam ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan pasukan tentera laut Israel telah merampas 41 kapal yang membawa kira-kira 400 peserta ketika mereka belayar menuju Gaza dalam operasi selama 12 jam sebelum semua kapal flotila itu ditunda ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
Flotila GSF membawa pelbagai barangan bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan, belayar sejak akhir Ogos lepas.
Mengenai keadaan aktivis GSF dari Malaysia yang kini ditahan pihak berkuasa Israel, Sany Araby berkata peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) yang kini berada di Ashdod telah berhubung dengan kesemua aktivis, dan mereka berada dalam keadaan selamat.
Beliau berkata keluarga delegasi Malaysia turut dijemput hadir ke SNCC petang tadi bagi menghadiri sesi taklimat dan mendapat perkembangan terkini mengenai misi terbabit.
Beliau turut menegaskan selagi Gaza terus berada di bawah kepungan, dinafikan hak serta berdepan dengan kebuluran, gelombang solidariti antarabangsa akan terus berlaku dan bukan hanya terhenti pada fasa kedua atau ketiga flotila.
“Ini kesatuan yang sangat kuat, bukan sahaja daripada aktivis kemanusiaan, malah dapat dilihat melalui tekanan politik pada peringkat antarabangsa termasuk di PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu). Landskap global semakin panas apabila beberapa negara seperti Colombia terus melaksanakan tindakan yang diperlukan,” katanya.
Menurut beliau, konflik berterusan itu juga menyaksikan kuasa besar seperti United Kingdom terpalit dalam percaturan politik moden yang telah berlaku sejak 75 tahun lepas.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus berdoa, bersatu dan mendukung misi berkenaan kerana ia misi kemanusiaan bersama.
“SNCC juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap delegasi Malaysia yang menyertai misi Sumud Nusantara dan GSF,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial