KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Jemputan Malaysia kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang di Kuala Lumpur pada Oktober ini perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi hubungan ASEAN yang lebih luas dan bukan inisiatif Malaysia semata-mata.
Pengarah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata kehadiran Trump adalah di bawah kerangka ASEAN-AS, disampaikan oleh Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dan bukan jemputan langsung daripada Malaysia sendiri.
“Ini bukan Malaysia menjemput AS. Ia adalah ASEAN, dengan Malaysia sebagai pengerusi menjemput AS. Oleh itu, beliau bukan datang ke Malaysia dalam konteks dua hala tetapi sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN-AS,” katanya pada sesi di RAM Forum 2025: Building Resilience and Future-Proofing Amid Shifting Sands hari ini.
Sesi itu dikendalikan oleh Profesor Adjung Taylor’s University Prof Dr Ong Kian Ming.
Sta Maria, yang juga Pro-Canselor Sunway University menegaskan bahawa ASEAN mempunyai keupayaan untuk menghimpunkan pemain global utama mengadakan dialog, membolehkan blok serantau itu menyuarakan kebimbangan dan pendiriannya berhubung isu-isu ekonomi dan keselamatan.
“Saya percaya lebih banyak perbincangan adalah lebih baik daripada tiada perbincangan. Forum sebegini membolehkan ASEAN berkongsi kebimbangan dan perspektifnya secara langsung serta bagi pihak lain untuk mendengar apa pendirian ASEAN dalam persekitaran ekonomi dan keselamatan global,” katanya.
Mengenai potensi risiko bantahan orang ramai jika Trump hadir, beliau menekankan kepentingan mengenai komunikasi dan cara penyampaiannya.
“Mesej mesti jelas bahawa ini bukan jemputan dua hala. Komunikasi yang jelas diperlukan untuk memastikan orang ramai memahami konteks dan tujuan perbincangan itu,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt 2025, dengan beberapa pemimpin dunia dari Asia, Eropah, Kanada, Afrika dan Amerika Latin dijangka hadir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial