KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Kerajaan secara dasar bersetuju supaya kelayakan menikmati subsidi petrol RON95 diperluas kepada pengusaha bot penumpang awam yang menggunakan bahan bakar itu sama ada di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS), tertakluk kepada mekanisme yang akan dimaklumkan kelak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jemaah Menteri semalam, susulan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan beberapa agensi berkaitan.
Beliau berkata kerajaan prihatin dengan keperluan penduduk yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan utama, khususnya di kawasan pulau dan sungai di Sabah dan Sarawak, selain sebahagian kawasan di Semenanjung Malaysia.
“Secara dasarnya, perkara ini adalah tertakluk kepada bot-bot yang didaftarkan atas pemilik warganegara atau syarikat yang berdaftar.
“Kerajaan pada masa ini sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan negeri yang berkaitan, termasuklah Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah untuk mengenal pasti pemilik bot berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025 bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) sempena ‘My Gaya Month”.
Armizan berkata sebagai langkah interim sementara menunggu mekanisme subsidi itu dimuktamadkan, pengusaha bot penumpang awam pada masa ini dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai bagi pembelian petrol dengan mengemukakan resit rasmi.
Selain itu, Jawatankuasa Rayuan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diaktifkan semula dengan peluasan skop meliputi SKPS bagi meneliti isu berbangkit termasuk tuntutan pengusaha bot.
“Jawatankuasa inilah yang akan menimbang kes-kes yang belum ‘cover’ (diliputi) serta menilai kelayakan permohonan. Melalui platform ini, pengusaha boleh mengemukakan rayuan, dan kerajaan akan merumus mekanisme terbaik,”katanya.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan terbuka untuk meluaskan BUDI95 kepada pengusaha bot penumpang kecil, khususnya di Sabah dan Sarawak, kerana perkhidmatan itu turut penting kepada komuniti setempat terutama di kawasan luar bandar dan pulau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial