AM

Anwar Jamin Usaha Maksimum Bebaskan Aktivis Malaysia - SNCC

03/10/2025 12:40 PM

SEPANG, 3 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia sedang melaksanakan usaha maksimum untuk membebaskan aktivis negara yang terbabit dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata beliau dihubungi perdana menteri pada 8.10 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan kesihatan serta keselamatan para aktivis dan ahli keluarga mereka.

“Beliau selaku Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara bertanya khabar mengenai keadaan keluarga aktivis, kesihatan mereka, serta meminta saya menyampaikan salam beliau selain memberi jaminan penuh terhadap usaha kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sani Araby berkata Anwar turut mengadakan rundingan diplomatik dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio.

Beliau berkata sidang media akan diadakan pada 4 petang ini bagi memaklumkan perkembangan lanjut mengenai GSF.

Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Kementerian Luar sebelum ini mengesahkan bahawa kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan