KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) memperkenalkan AssuredLove, satu ciri baharu yang menawarkan fleksibiliti kepada pemegang polisi insurans hayat untuk memilih pembayaran faedah kematian secara tahunan, dalam tempoh lima atau 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Charles Ong berkata ciri itu direka bagi membantu pelanggan mengurus perancangan legasi mereka dengan lebih berkesan, sekali gus memastikan kestabilan kewangan benefisiari dalam jangka masa panjang.
“Kami berbesar hati memperkenalkan AssuredLove, satu ciri yang mencerminkan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian inovatif bagi memperkasakan pelanggan.
“Dengan menawarkan pilihan bayaran faedah kematian fleksibel, kami berhasrat membantu pemegang polisi mengurus legasi mereka dengan lebih berkesan, memastikan orang tersayang sentiasa dibimbing dan disokong mengikut keadaan unik mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi pemegang polisi yang memilih tempoh bayaran lima tahun, bayaran tahun pertama ialah sebanyak 28 peratus daripada jumlah faedah kematian, diikuti 18 peratus setahun bagi empat tahun berikutnya.
Sementara itu bagi tempoh 10 tahun, bayaran tahun pertama kekal 28 peratus, manakala baki dibayar sebanyak lapan peratus setahun untuk sembilan tahun berikutnya.
“Faedah tambahan juga diberikan apabila faedah kematian yang berbaki selepas bayaran pertama akan dikenakan faedah. Faedah ini akan dibayar bersama bayaran terakhir atau apabila AssuredLove ditamatkan, yang mana lebih awal, sekali gus memberi pertumbuhan kewangan tambahan sepanjang tempoh bayaran,” katanya.
Ong berkata AssuredLove boleh digabungkan dengan pelan perlindungan sedia ada tanpa kos tambahan, dan boleh dilampirkan kepada beberapa produk insurans hayat termasuk Allianz EverLink Signature, Allianz EverLink Plus, Allianz PremierLink, Allianz PremierLink Advance dan Allianz PrimeCover.
Ciri baharu itu ditawarkan kepada semua pemegang polisi yang layak, sekali gus memberi lebih pilihan untuk menyesuaikan manfaat perlindungan hayat mengikut keperluan kewangan masing-masing.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Allianz Life atau ejen bertauliah syarikat berkenaan untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial