JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Pakar penyelidik teknologi membran Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail dinobatkan sebagai penerima Anugerah Teknologis Negara 2025.
Ahmad Fauzi, yang juga pengasas Advanced Technology Research Centre (AMTEC), sebuah pusat penyelidikan bertaraf dunia dalam teknologi membran, menerima anugerah itu bersempena Experts Network in Technology, Innovation and Cooperative Event Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) hari ini.
UTM dalam kenyataan memaklumkan anugerah itu merupakan penghargaan terhadap pencapaian bekas naib canselor universiti itu dalam memacu penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan teknologi membran, merangkumi rawatan air, penyahgaraman, pemisahan gas dan tenaga mapan.
“Beliau merupakan alumni sohor UTM yang sentiasa mengangkat nama universiti di persada antarabangsa dan pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai seorang daripada teknologis berpengaruh negara melangkaui sempadan antarabangsa menerusi kepimpinan akademik, kecemerlangan penyelidikan dan bimbingan generasi baharu saintis serta jurutera,” menurut UTM.
Anugerah disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Sementara itu, Ahmad Fauzi dalam kenyataan sama berkata anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap perjalanannya sebagai penyelidik dan ahli akademik, tetapi juga penghargaan atas usaha bersama pasukan penyelidik, mahasiswa dan industri yang mempercayai potensi teknologi membran.
Tokoh akademik itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum (B.Eng) dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia (MSc) daripada UTM pada 1989 dan 1992, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Kejuruteraan Kimia dan Proses di University of Strathclyde, Glasgow, United Kingdom.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial