AM

MRSM Perlu Bina Program Niche Bidang Kokurikulum Tersendiri - Asyraf Wajdi

02/10/2025 04:38 PM

BANGI, 2 Okt (Bernama) -- Setiap Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) digalakkan mengenal pasti kekuatan unik masing-masing dan membangunkan program niche tersendiri, terutamanya dalam bidang kokurikulum, bagi menonjolkan keupayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau mahu MRSM cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga dalam bidang bukan akademik.

“Kita minta supaya setiap MRSM mengenal pasti kekuatan selain akademik yang ada pada institusi tersebut dan fokus kepada kekuatan itu supaya dapat ditonjolkan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan MRSM di sini hari ini.

Majlis itu meraikan 243 penerima anugerah, terdiri daripada 103 pelajar dan 130 guru, sekali gus membuktikan dedikasi warga MRSM dalam merealisasikan aspirasi MARA dan Malaysia MADANI.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata MRSM bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga pemimpin masa hadapan yang terbentuk watak, disemai nilai, dan dibina jati diri.

“Anak-anak MRSM bukan hanya pelajar straight A, tetapi mereka adalah pemikir, pemimpin, dan pemacu perubahan.

“Dalam usaha melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani, pembentukan sahsiah pelajar sentiasa menjadi keutamaan dalam sistem pendidikan MRSM,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan