EKONOMI

RHB Bank Cadang Program Kertas Komersial, Sukuk Pelbagai Mata Wang Berjumlah RM5 Bilion

01/10/2025 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- RHB Bank Bhd mencadangkan Program Kertas Komersial (CP) Pelbagai Mata Wang dan Program CP Islam (Sukuk Murabahah) Pelbagai Mata Wang dengan had gabungan sehingga RM5 bilion.

RHB Bank berkata ia menyerahkan program-program tersebut kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di bawah Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai melalui Rangka Kerja Serah dan Simpan.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, bank itu berkata Program CP akan membolehkan terbitan CP dalam pelbagai mata wang termasuk ringgit manakala Program Sukuk Murabahah akan memudahkan terbitan CP Islam dalam pelbagai mata wang, termasuk ringgit.

“Hasil yang diperoleh daripada terbitan CP di bawah Program CP akan disalurkan kepada Penerbit dan subsidiarinya tanpa had bagi tujuan modal kerja, tujuan perbankan am, dan/atau pembiayaan semula pinjaman atau pembiayaan sedia ada.

“Hasil yang diperoleh daripada terbitan Sukuk Murabahah di bawah Program Sukuk Murabahah akan digunakan untuk pembiayaan Islam dan pengeluaran pendahuluan kepada pelanggan, pelaburan dalam instrumen pasaran wang Islam serta pembiayaan semula atau penebusan kemudahan pembiayaan Islam bagi tujuan perniagaan patuh syariah,” katanya.

Bank itu menambah program-program berkenaan juga membolehkan Penerbit menerbitkan CP atau Sukuk Murabahah selaras dengan prinsip panduan Rangka Kerja Sukuk dan Bon Kemampanan RHB.

RHB Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama, penyelaras utama dan pengurus utama bagi program-program tersebut.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan