KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Legenda badminton negara Datuk Foo Kok Keong yakin Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuat percaturan terbaik, sama ada menghantar skuad terkuat atau skuad pelapis ke Sukan SEA 2025 di Thailand pada Disember ini.
Beliau berkata keputusan muktamad terletak di tangan badan induk sukan itu, sama ada lebih mengutamakan peluang meraih pingat emas atau memberi pendedahan awal kepada pemain muda.
“Tanpa semangat juang dan semangat berpasukan, kami tidak akan mendapatkannya. Ia bergantung kepada BAM, sama ada mereka mahu bagi pengalaman kepada semua pemain pelapis atau jika mereka fikir mahu memenangi Sukan SEA , maka mereka perlu hantar pemain terbaik.
“Ini adalah kerana sepanjang karier saya, saya tidak pernah menolak untuk bermain pada Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan kebanyakan acara berpasukan serta individu, saya hadapi banyak kejohanan ini yang kemudian ia dipanggil pengalaman juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis kerjasama Eco-shop dan Kelab Penyokong Sukan Famemas Malaysia, yang akan menghantar skuad penyokong khas bagi memberi sorakan padu kepada kontinjen negara ke Sukan SEA 2025.
Olimpian negara yang pernah menyumbang pingat emas pada Sukan SEA 1991 di Manila itu berkata apa jua keputusan akan diambil BAM seharusnya disambut dengan keputusan positif oleh pemain terpilih dalam misi mengharumkan nama negara.
Sebelum ini, BAM mengesahkan akan menghantar barisan pemain terkuat ke temasya dwitahunan itu dalam usaha memburu lebih banyak pingat emas.
Senarai akhir pemain dijangka diputuskan dalam masa terdekat menerusi mesyuarat bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan BAM Rexy Mainaky.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2021 di Vietnam dalam acara beregu campuran menerusi Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.
Pada edisi lepas di Kemboja, pemain negara gagal menghadiahkan emas buat Malaysia sebaliknya hanya membawa pulang dua perak dan empat gangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial