AM

Masjid Dan Surau Di Bawah JAKIM, JAWI Diarah Anjur Solat Hajat Dan Qunut Nazilah

02/10/2025 10:30 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah mengadakan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bermula malam ini dan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan berkata ia susulan tindakan Israel memintas kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Beliau berkata solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah akan dilaksanakan selepas solat maghrib malam ini serta esok selepas solat Jumaat dan selain itu khutbah Jumaat khas mengenai isu Palestin juga akan disampaikan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

"Saya mengesyorkan kepada semua masjid dan surau Jumaat di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam negeri-negeri turut mengambil langkah yang sama.

"Ayuh kita semua mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada pasukan Global Sumud Flotilla khususnya untuk rakyat Malaysia yang terlibat selain mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin," katanya.

GSF yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza dilaporkan dipintas dan dihalang oleh Israel di perairan antarabangsa.

Setakat 7.50 pagi waktu Malaysia, sebanyak 12 rakyat Malaysia ditahan dan lima lagi dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata kerajaan negeri telah mengarahkan semua masjid dan surau di Pulau Pinang melaksanakan solat hajat secara berjemaah selepas solat maghrib malam ini dan solat Jumaat esok.

“Bacaan Qunut Nazilah turut disaran dalam solat Jumaat esok serta dalam solat berjemaah lima waktu sebagai tanda keprihatinan terhadap penderitaan umat Islam di Palestin,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengeluarkan surat arahan pelaksanaan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah bagi kesemua masjid dan surau Jumaat di negeri berkenaan selepas solat Jumaat esok.

Pengarah JHEAINS Mohd Asri Abdullah berkata ia bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua anak-anak kapal khususnya rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF.

Di Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri Datuk Mohd Azam Abd Samat berkata seluruh masjid di negeri itu dimohon mengadakan solat sunat hajat selepas solat Jumaat esok bagi memohon keselamatan sukarelawan GSF.

Beliau turut berharap bacaan Qunut Nazilah setiap kali solat fardu dapat diteruskan di seluruh masjid sehingga Palestin bebas merdeka.

Di Johor, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata Mesyuarat Penuh Majlis Agama Islam Johor Kali ke-287 memutuskan setiap masjid dan surau di negeri itu mengadakan solat hajat bagi keselamatan dan kejayaan misi GSF.

Di Terengganu, lebih 500 masjid akan mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan peserta misi GSF selepas solat Jumaat esok.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah mengeluarkan surat rasmi berkaitan perkara itu hari ini.

Selain itu, beliau berkata pelbagai program bakal diadakan di Terengganu dalam menyampaikan mesej solidariti dan menggesa rejim Zionis menghentikan penyeksaan terhadap penduduk Gaza termasuk perarakan bot pada 10 Okt ini.

Di Kelantan, kerajaan negeri memohon seluruh rakyat di negeri itu agar bersama-sama memanjatkan doa bagi kesejahteraan semua sukarelawan GSF yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza. 

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata setakat ini sebanyak 497 sukarelawan Sumud Nusantara daripada 46 negara terlibat dalam misi itu, dengan Malaysia merupakan antara negara Islam yang menghantar sukarelawan termasuk rakyat Kelantan.

“Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar semua tahanan, khususnya warga Malaysia, berada dalam keadaan selamat dan terpelihara,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata kerajaan negeri menggerakkan seluruh Bahagian Dakwah Halaqat Negeri Kelantan untuk menganjurkan solat hajat dan bacaan Qunut Nazilah di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi mendoakan keselamatan sukarelawan GSF yang ditahan pihak Israel, awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) memaklumkan setakat 3.30 petang ini, sebanyak 15 sukarelawan kemanusiaan GSF rakyat Malaysia disahkan telah ditahan tentera Israel selepas kapal dinaiki mereka dipintas ketika memasuki zon merah.

Misi kemanusiaan GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil membawa bekalan bantuan asas rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan