EKONOMI

Mizuho Bank Komited Sokong JS-SEZ, Peruntuk Hampir US$600 Juta Kepada Pelabur -- Amir Hamzah

01/10/2025 08:32 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Mizuho Bank (Malaysia) Bhd komited menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan memperuntukkan hampir US$600 juta (US$1=RM4.2) pembiayaan kepada pelanggan yang melabur di zon itu.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang juga merupakan pemangku menteri ekonomi berkata bank itu menumpukan kepada pelaburan dalam pembuatan makanan dan minuman, pusat data, penjanaan kuasa dan pembuatan berkaitan kimia.

"Institusi kewangan seperti Mizuho Bank memainkan peranan penting dalam membina keyakinan pelabur, meningkatkan pendedahan dan membuka saluran pelaburan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucaptamanya semasa majlis pertukaran surat hasrat antara Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Mizuho Bank, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron, Ketua Eksekutif IRDA Datuk Mohd Noorazam Osman, Pegawai Eksekutif Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mizuho Financial Group Inc dan Mizuho Bank Ltd bagi Asia Pasifik Koichi Zaiki.

IRDA bertindak sebagai agensi pemudah cara untuk memudahkan pelaburan memasuki JS-SEZ, manakala Mizuho Bank merupakan salah satu institusi perkhidmatan kewangan terbesar dan terkemuka di Jepun.

“Dengan IRDA sebagai pemudah cara dan Mizuho Bank (Malaysia) Bhd sebagai rakan kewangan yang dipercayai, kami yakin JS-SEZ akan menarik pelaburan baharu, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab ekonomi serantau,” kata Amir Hamzah.

Menurutnya, perkongsian strategik yang berterusan penting untuk menarik pelaburan bernilai tinggi, mengukuhkan ketersambungan rentas sempadan dan mewujudkan peluang yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Johor tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.

Beliau berkata pada Mei 2025, JS-SEZ menjalin perkongsian strategik dengan enam institusi kewangan.

Amir Hamzah berkata Mizuho Bank mampu menyalurkan projek pemangkin ke dalam 11 sektor yang diberi keutamaan JS-SEZ melalui rangkaian pelanggan Jepunnya yang meluas.

"Kami percaya inisiatif ini akan menterjemahkan manfaat sebenar kepada rakyat secara keseluruhan. 

“Contohnya, apabila pengeluar automotif Jepun membuka kilangnya di sini, ia bukan sahaja mewujudkan pekerjaan kejuruteraan berkemahiran tinggi tetapi juga peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana tempatan kita membekalkan komponen dan perkhidmatan," katanya.

Bagi pelabur, katanya, ini bermakna ekosistem yang lebih menyokong, lebih mudah mendapatkan pembiayaan dan pemudahan projek yang lebih pantas.

Sementara itu Koichi berkata, terdapat kira-kira 10 hingga 20 syarikat Jepun telah menyatakan minat untuk datang ke JS-SEZ.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan