EKONOMI

MBSB IB Jadi Pengatur Utama Bersama Pembiayaan RM4.8 Bilion Bagi Pacu Operasi Weststar

03/10/2025 08:13 PM

SUBANG, 3 Okt (Bernama) -- Kumpulan Weststar dan MBSB Bank Bhd (MBSB) telah memeterai kerjasama strategik menerusi kemudahan pembiayaan Islam berjumlah RM1.3 bilion, bagi memacu pengembangan operasi penerbangan Weststar.

Kemudahan itu merupakan sebahagian daripada pembiayaan bersindiket berjumlah RM4.8 bilion, dan MBSB Investment Bank adalah pengatur utama bersama dalam konsortium yang melibatkan empat bank lain. 

Memorandum persefahaman (MoU) itu yang ditandatangani di sini hari ini, membuka laluan bagi penyelesaian pembiayaan, usaha niaga pelaburan dan struktur kewangan yang inovatif bagi menyokong pertumbuhan terpelbagai Weststar dan mengukuhkan peranan MBSB sebagai rakan kongsi kewangan.

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata kekuatan kumpulan itu terletak kepada keupayaannya untuk berinovasi, mempelbagaikan dan menyesuaikan diri dengan permintaan ekonomi global.

“Walaupun sektor penerbangan kekal sebagai teras kami, kami telah berkembang ke dalam pelbagai industri sambil mengekalkan kedudukan kami sebagai peneraju serantau dalam perkhidmatan helikopter.

“MoU dengan MBSB ini menyediakan rangka kerja yang kukuh untuk membuka peluang baharu yang disokong oleh penyelesaian kewangan inovatif yang kritikal untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya pada majlis memeterai perjanjian itu.

Pengerusi MBSB Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad pula berkata aeroangkasa dan penerbangan merupakan pengganda pertumbuhan yang menghubungkan Malaysia kepada rantaian bekalan global, koridor tenaga dan industri masa depan. 

“Dengan membiayai pengembangan Weststar, MBSB sebenarnya melabur dalam daya saing Malaysia dan meletakkan negara untuk menerajui dalam sektor yang paling penting untuk ekonomi masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, kepentingan perniagaan Weststar merangkumi penerbangan, automotif, pertahanan, pembinaan, hartanah, insurans, teknologi komunikasi dan maklumat, makanan dan minuman, serta tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan