AM

JAPEN Pahang Turun Padang Salur Maklumat BUDI95 Kepada Rakyat

01/10/2025 08:21 PM

KUANTAN, 1 Okt (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JAPEN) Pahang mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang ke seluruh daerah di negeri itu termasuk kawasan luar bandar bagi menyalurkan maklumat mengenai pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Pengarah JAPEN Pahang Rohani Chik berkata langkah itu dilaksanakan sejak minggu lepas bagi mendekati masyarakat secara lebih efektif dengan mengedarkan risalah berkaitan BUDI95 sambil memberi penerangan kepada orang ramai. 

Beliau berkata menerusi usaha itu juga, pihaknya menerima maklum balas secara terus daripada masyarakat mengenai inisiatif berkenaan dan setakat ini, rata-rata memberi reaksi positif. 

"Sebelum pelaksanaan BUDI95, kita melakukan hebahan di media sosial dan selepas pelaksanaannya, kami turun padang untuk memberi penerangan kepada masyarakat selain memberitahu kaedah memanfaatkan inisiatif itu di stesen minyak.

“Kami turut mengedarkan risalah kepada masyarakat agar mereka lebih mudah faham dan secara purata, JAPEN Pahang menjelajah ke 50 lokasi setiap hari bagi memastikan maklumat sampai ke semua peringkat masyarakat yang layak menerima manfaat BUDI95,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Rohani berkata selain stesen minyak, risalah berkenaan turut diedarkan di lokasi tumpuan ramai antaranya pasar raya, hentian bas serta kedai makan, dan inisiatif itu akan dilaksanakan secara berterusan.  

Beliau memaklumkan unit bergerak JAPEN juga memainkan peranan dengan melakukan hebahan mengenai BUDI95 di samping inisiatif kerajaan yang lain. 

"Kami turut menggerakkan kerjasama dengan Pusat Transformasi Bandar Kuantan untuk membantu memperluas hebahan mengenai inisiatif kerajaan ini agar maklumat dapat disampaikan dengan lebih meluas dan berkesan kepada masyarakat setempat," katanya. 

BUDI95 dilaksanakan secara berperingkat sejak 27 Sept lepas dengan 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia menjadi kumpulan pertama menikmati inisiatif itu disusuli lebih lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah dalam kategori B40 pada 28 Sept.

Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia yang layak pula menikmati manfaat inisiatif BUDI95 semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan