PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan bantuan disalurkan segera kepada mangsa kebakaran rumah panjang Austin Ikew di Song, Sarawak.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara tersebut disampaikan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
“Kebakaran rumah panjang 29 pintu tersebut melibatkan 76 mangsa daripada 20 keluarga, dan semua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara.
“Perdana Menteri telah minta supaya bantuan disegarkan kepada semua mangsa,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) yang dinobatkan pemenang Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori “Menyokong Kehidupan Sihat”.
Kejayaan itu diraih menerusi projek inovatif HELPIE, aplikasi mudah alih yang dibangunkan pada 2023 bagi meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap kesihatan mental murid.
“Ini telah sekali gus mengharumkan nama negara di pentas pendidikan dunia dan Jemaah Menteri amat mengalu-alukan dan berbangga di atas kejayaan ini,” kata Fahmi.
Selain itu Fahmi berkata Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan sama buat Kementerian Pengangkutan kerana berjaya mempertahankan kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selama tujuh penggal berturut-turut sejak tahun 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial