AM

Timor-Leste Bakal Diiktiraf Negara Anggota ASEAN, Lawatan PM Eratkan Hubungan - Fahmi

01/10/2025 06:01 PM

PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Timor-Leste baru-baru ini bukan sahaja lawatan prakemasukan negara itu ke dalam ASEAN tetapi juga berjaya mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri telah menyentuh mengenai lawatan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang disifatkan sebagai bersejarah memandangkan kali terakhir seorang Perdana Menteri Malaysia menjejakkan kaki ke negara itu ialah pada 2003 iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Insya-Allah pada 26 Okt, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan turut bersama dengan negara-negara ASEAN yang lain menerima kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN ke-11.

"Jadi, ini bukan hanya lawatan yang dilakukan oleh Pengerusi ASEAN prakemasukan Timor-Leste dalam ASEAN tetapi juga mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara," kata Jurucakap Kerajaan MADANI itu dalam sidang mingguan di sini hari ini.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini dengan kehadiran pemimpin-pemimpin berpengaruh dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Presiden China Xi Jinping serta ketua-ketua kerajaan negara ASEAN dan rakan dialog.

Pada 23 Sept lepas, Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi bersejarah selama dua hari ke Timor-Leste bagi memperkukuh hubungan dua hala dan menyokong penyertaan negara itu sebagai anggota ke-11 ASEAN.

Pada 2024, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste bernilai USD18.72 juta (RM85.68 juta).

Eksport Malaysia ke Timor-Leste berjumlah USD18.37 juta (RM84.06 juta) manakala import dari negara itu adalah sebanyak USD0.35 juta (RM1.62 juta).

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, nilai perdagangan dua hala mencecah USD6.65 juta (RM26.88 juta) dengan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia aktif di Timor-Leste dalam pelbagai sektor seperti makanan, hospitaliti, peruncitan serta perkhidmatan automotif.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan