DUNIA

Arab Saudi Sahkan Semua Pemegang Visa Dibenar Tunai Umrah

06/10/2025 02:08 PM

JEDDAH, 6 Okt (Bernama-SPA) -- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan pemegang semua jenis visa boleh menunaikan umrah ketika berada di negara itu, lapor Agensi Berita Saudi (SPA).

Kementerian itu memaklumkan langkah terbabit merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi memudahkan prosedur jemaah umrah dan memperluas akses kepada perkhidmatan sistem Haji dan Umrah, demi menyokong objektif Wawasan Saudi 2030.

Menurut kementerian, visa itu termasuk visa lawatan peribadi dan keluarga, visa pelancong elektronik, visa transit, visa kerja dan pelbagai jenis visa lain.

Kementerian itu turut menegaskan bahawa langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memudahkan ketibaan umat Islam dari seluruh dunia bagi menunaikan ibadah mereka dengan mudah dan tenang.

Selain itu, kementerian berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya baru-baru ini melancarkan platform digital “Nusuk Umrah” bagi memudahkan mereka yang ingin menunaikan umrah secara langsung, membolehkan pengguna memilih pakej sesuai serta mendapatkan permit umrah secara elektronik dengan mudah.

Platform digital bersepadu itu juga membolehkan pengguna menempah perkhidmatan dan menetapkan waktu dengan lebih fleksibel, menurut kementerian.

-- BERNAMA-SPA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan