EKONOMI

Semakin Ramai Golongan Berpendapatan Rendah Mula Rancang Persaraan Pada 2025 - RinggitPlus

01/10/2025 03:16 PM

PETALING JAYA, 1 Okt (Bernama) --Platform perbandingan kewangan RinggitPlus melaporkan terdapat kemajuan menggalakkan berkaitan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah apabila semakin ramai yang mengambil langkah untuk mencapai jaminan kewangan jangka panjang.

Dapatan itu diperoleh menerusi Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2025, kajian tahunan kelapan, yang menyelidik bagaimana lebih 3,000 responden rakyat Malaysia menyimpan dan menguruskan kewangan peribadi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata pada 2025 sebanyak 55 peratus daripada mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 sebulan menyatakan telah mula merancang untuk persaraan, meningkat daripada 48 peratus pada 2024.

"Peningkatan itu mencerminkan hasil daripada inisiatif pendidikan kewangan, program sokongan kerajaan, dan kenaikan gaji minimum baru-baru ini dalam membantu golongan yang paling terjejas akibat kenaikan kos sara hidup," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai dapatan RMFLS 2025 itu, di sini, hari ini.

Yuen berkata celik kewangan dalam segmen berpendapatan rendah turut meningkat dengan kira-kira 40 peratus responden menyatakan tidak mengetahui tentang skor kredit, turun daripada 45 peratus tahun lepas, mencerminkan peningkatan kesedaran tentang bagaimana kredit memberi kesan kepada kesejahteraan kewangan.

“Terdapat juga petanda responden mengambil pendekatan berhati-hati dalam kewangan, apabila 36 peratus responden berpendapatan rendah menyatakan mereka berusaha mengelak menggunakan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL), yang merupakan yang tertinggi dalam kalangan semua segmen pendapatan.

 "Ini mungkin mencerminkan peralihan ke arah pengurusan hutang yang lebih berhati-hati, terutamanya kerana ketidaktentuan ekonomi telah menjadikan peminjaman lebih berisiko bagi kumpulan rentan," katanya.

Bagaimanapun, Yuen berkata kumpulan berpendapatan sederhana mengunjurkan simpanan lebih rendah pada 2025, dengan mereka yang berpendapatan antara RM5,000 dan RM10,000 sebulan, hanya 23 peratus berjaya menyimpan antara RM1,001 dan RM1,500 sebulan, berbanding 29 peratus pada 2024.

"Sentimen kewangan dalam segmen berpendapatan sederhana juga berkurangan. Walaupun hampir separuh rakyat Malaysia (48 peratus) percaya keadaan kewangan mereka bertambah baik berbanding tahun lepas, keyakinan ini tidak sama rata. Hanya 54 peratus daripada golongan berpendapatan sederhana merasakan keadaan kewangan mereka lebih baik, turun daripada 58 peratus pada 2024.

"Dapatan ini menunjukkan bahawa walaupun golongan berpendapatan sederhana Malaysia terus mendapat manfaat daripada langkah sokongan seperti subsidi bahan api, namun mereka semakin kurang berjimat dan penampan kewangan juga semakin lemah berbanding tahun lepas," kata Yuen.

Pada masa yang sama, tinjauan itu menunjukkan golongan muda semakin sedar tentang pengurusan kewangan pada 2025, dengan 40 peratus responden menyimpan lebih daripada RM500 sebulan, meningkat daripada 36 peratus tahun lepas, kata Yuen.

Beliau berkata tinjauan itu juga mengetengahkan tentang kenaikan kos insurans di Malaysia, dengan 22 peratus pemegang polisi sama ada bertukar kepada pelan yang lebih murah atau membatalkan sekurang-kurangnya satu polisi pada tahun lepas kerana bimbang tidak mampu membayar.

“Walaupun terdapat usaha individu untuk merancang masa depan, 43 peratus rakyat Malaysia masih kekal tanpa insurans perubatan, manakala 15 peratus bergantung semata-mata kepada kad perubatan ditanggung syarikat,” katanya.

Sementara itu Yuen memuji syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada pemohon pinjaman peribadi yang ingin meminjam jumlah melebihi RM100,000 untuk menghadiri modul pendidikan kewangan, sambil menyatakan pendidikan kewangan memainkan peranan penting dalam meningkatkan banyak aspek kehidupan.

"Cabaran menguruskan hutang adalah besar, tetapi dengan celik kewangan yang lebih kukuh, orang ramai boleh mendepani kesukaran ini dengan lebih baik lagi dan mengurangkan risiko pada masa hadapan.

"Saya fikir BNM adalah pengawal selia yang sangat baik yang sentiasa melakukan usaha untuk meningkatkan pengurusan kewangan negara," katanya.

Pada Selasa, BNM mengumumkan pengguna yang memohon pembiayaan peribadi dengan jumlah melebihi RM100,000 perlu menghadiri dan melengkapkan modul pendidikan kewangan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan