EKONOMI

Penangguhan EUDR Kurangkan Tekanan Pematuhan, Sokong Eksport Minyak Sawit - Penganalisis

30/09/2025 04:12 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Cadangan penangguhan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) akan membantu mengurangkan tekanan pematuhan bagi pengeluar minyak sawit dan komoditi lain, selain menstabilkan aliran perdagangan. 

Pengerusi dan pengarah urusan TransGraph Consulting Pvt Ltd yang berpangkalan di Hyderabad, Nagaraj Meda berkata, penangguhan itu dijangka memberi kesan minimum terhadap industri dan harga minyak sawit, dengan anggaran pengurangan sebanyak 100,000 tan metrik dalam import bulanan ke Kesatuan Eropah (EU).

“Jawatankuasa EU mencadangkan penangguhan EUDR kepada Jawatankuasa Alam Sekitar, walaupun ini masih memerlukan kelulusan daripada Parlimen EU dan negara anggota.

“Penangguhan EUDR membolehkan syarikat bersedia untuk mematuhi peraturan kemampanan pada masa depan dengan meningkatkan kebolehkesanan, menguji sistem pematuhan, melabur dalam teknologi dan mengadakan libat urus dengan pekebun kecil,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penangguhan itu juga menstabilkan aliran perdagangan dalam tempoh terdekat dan menyediakan peluang untuk membina rantaian bekalan yang lebih kukuh dan berdaya tahan.

Pada masa yang sama, Nagaraj berkata jumlah import minyak sawit dan derivatif dari EU tidak dijangka berubah dengan ketara.

Baru-baru ini, Pesuruhjaya Alam Sekitar EU Jessika Roswall berkata kesatuan itu sedang berusaha menangguhkan pelaksanaan EUDR buat kali kedua bagi tempoh setahun lagi hingga ke akhir 2026.

Beliau berkata cadangan penangguhan itu disebabkan terutamanya ketidakupayaan sistem teknologi maklumat (IT) EU untuk mengendalikan jumlah besar data kebolehkesanan yang diperlukan daripada syarikat yang berurusan dalam komoditi seperti minyak sawit, soya dan kayu.

Peraturan itu yang pada asalnya dijadualkan bermula Disember 2025, kini dijangka berkuat kuasa pada Disember 2026.

Mengulas mengenai ketidakupayaan sistem IT, Nagaraj berkata bagi menangani situasi itu, suruhanjaya berkenaan berkemungkinan perlu meningkatkan kapasiti pelayan untuk menampung volum data yang semakin meningkat dan memastikan pemprosesan yang cekap.

“Suruhanjaya Eropah (EC) mengakui cabaran kapasiti dalam mengendalikan sejumlah besar data yang diperlukan untuk proses penilaian wajar ini.

“Sistem IT ini bertanggungjawab untuk mengurus penyata penilaian wajar di bawah EUDR yang beroperasi di platform TRACES, yang berfungsi sebagai pusat pendaftaran untuk penyata penilaian wajar yang dikemukakan oleh pengendali dan peniaga, memastikan pematuhan terhadap peraturan,” katanya.

TRACES, yang dibangun dan diselenggara oleh EC ialah platform dalam talian EC untuk pensijilan kesihatan haiwan dan tumbuhan yang diperlukan bagi pengimportan haiwan, produk haiwan, makanan dan makanan bukan asal haiwan dan tumbuhan ke dalam EU, dan perdagangan intra-EU dan eksport haiwan dan produk haiwan tertentu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan